Monday, December 13, 2010

Ikhwanul Muslimin kemuka bukti penipuan pilihan raya


KAHERAH 12 Dis. - Parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin semalam menyatakan telah mengumpul bukti penipuan dan penganiayaan lain pada pilihan raya Parlimen yang berlangsung bulan lalu serta akan mengemukakannya kepada kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.
Parti itu juga berkata, ia akan merujuk kepada perlembagaan dan pentadbiran tertinggi mahkamah Mesir agar Parlimen baru itu dibubar dan pilihan raya diadakan semula.
Ikhwanul Muslimin yang menguasai satu perlima daripada kerusi Parlimen yang akan tamat penggalnya, memboikot pilihan raya pusingan kedua itu setelah pusingan pertama dikatakan berat sebelah kepada parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), pimpinan Presiden Hosni Mubarak.
NDP menguasai kira-kira 80 peratus kerusi berdasarkan kepada keputusan akhir yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, berbanding 70 peratus pada Parlimen sebelum ini.
"Kami akan mengemukakannya kepada pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan mendukung asas perlindungan awam yang mana telah ditandatangani dalam perjanjian oleh Mesir," kata ahli Ikhwanul Muslimin dan bekas ahli Parlimen, Sobhi Saleh.
Saleh berkata, pihaknya akan menghubungi badan-badan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pemerhati Hak Asasi Manusia.
Kenyataannya itu menyusul selepas satu persidangan diadakan oleh parti pembangkang tersebut bagi membincangkan apa yang disifatkan sebagai 'penipuan terang-terangan' dan ugutan dalam pilihan raya itu.
Undang-undang Mesir melarang parti politik menggunakan nama agama, jadi pergerakan-pergerakan itu meletakkan calon-calon untuk bertanding atas tiket bebas.
Katanya, tiada seorang pun daripada calon mereka bertanding dalam pilihan raya itu berikutan boikot yang dijalankan.
Parti Wafd yang merupakan blok pembangkang kedua terbesar dalam Parlimen yang akan tamat penggalnya berkata, ia akan 'membekukan' keahlian tujuh ahlinya yang memenangi kerusi dalam Parlimen baru setelah enggan menyertai boikot pilihan raya itu, lapor agensi berita MENA. - REUTERS

No comments:

Post a Comment