Monday, December 13, 2010

Azmin: Kuan Yuew tidak terima kepimpinan pembangkang


KUALA LUMPUR 12 Dis. - Pimpinan Singapura termasuk Menteri Mentornya, Lee Kuan Yew didakwa tidak dapat menerima kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak mahu melihat pakatan pembangkang menguasai Putrajaya kerana ia akan menjejaskan kedudukan mereka di rantau ini.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, pimpinan Singapura termasuk Kuan Yew lebih rela UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara kerana beliau mendakwa parti itu begitu mudah melutut kepada segala tuntutan Singapura.
"Mereka (Singapura) lebih rela pimpinan UMNO-BN memerintah negara kerana pimpinan korup ini dengan mudah melutut kepada segala tuntutan Singapura. Fitnah tidak akan bertukar menjadi kebenaran walau diulang hatta dalam media cetak atau elektronik," katanya dalam entri terbaru blognya bertajuk Fitnah Jelek SB Malaysia dan Agensi Perisikan Singapura di http://azminali.com.
Beliau mengulas pendedahan Wikileaks yang dipetik melalui laporan The Sydney Morning Herald semalam yang mendedahkan agensi perisikan Singapura mengesahkan Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu, dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008, iaitu kira-kira lima bulan selepas dakwaan Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terbongkar.
Menurut WikiLeaks, dalam laporan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, pegawai-pegawai perisikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa, Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat sebagaimana pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekarang.
Maklumat risikan itu dikukuhkan lagi apabila WikiLeaks juga mendedahkan bahawa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sendiri pernah memberitahu agensi Risikan Kebangsaan Australia (ONA) sewaktu mereka bertukar-tukar pandangan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat.
Azmin mendakwa, pendedahan WikLeaks membuktikan bahawa fitnah liwat terhadap Anwar yang juga penasihat PKR itu merupakan usaha jahat Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjatuhkan kredibiliti serta karier politik ketua pembangkang itu.
"Sumber daif dan palsu yang dirujuk oleh agensi perisikan Singapura bersandarkan maklumat daripada SB PDRM membuktikan bahawa UMNO begitu terdesak melakukan apa sahaja untuk menghalang kebangkitan rakyat,'' katanya.

No comments:

Post a Comment