Thursday, December 16, 2010

Kampung sering banjir kilat


Oleh Jamaludin Husin

2010/12/16

MUAR: Penghuni Jalan Cenderawasih 9, Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 5 (KKTDI5), Jalan Sungai Abong mendakwa sering dilanda banjir kilat apabila hujan lebat, disebabkan saliran di bahu jalan utama di sini, tersumbat. 

Mereka mendakwa setiap kali hujan, air akan melimpah ke permukaan jalan dan masuk ke dalam rumah, sehingga menyebabkan kerosakan peralatan kerana dibasahi air.
Tinjauan mendapati, parit di bahu jalan hadapan sebuah warung berdekatan dengan kediaman penduduk di jalan berkenaan, tertimbus dengan tanah dan batu konkrit, sehingga menyekat pengaliran air.Saliran sepanjang kira-kira 300 meter itu adalah parit di jalan utama yang sepatutnya mengalirkan air ke parit utama di Jalan Sungai Abong, ke Sungai Muar. 

Bagaimanapun, sebahagian daripada permukaan saliran itu tertutup, akibat sering digunakan pemandu dengan memandu kenderaan di atas permukaan saliran itu ketika mereka menjamu selera di warung berkenaan sehingga menyebabkan saliran itu tertimbus. 

Penduduk, Kamalruzaman Abdul Rahman, 45, berkata setiap kali hujan, air akan melimpah di atas jalan di depan kediamannya di jalan berkenaan. 

Katanya, bagi mengelak keadaan itu berpanjangan, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau saliran berkenaan, kerana kedudukannya semakin rendah daripada permukaan jalan. 
“Saliran yang tertimbus itu keadaannya selari dengan permukaan jalan raya dan apabila hujan air akan melimpah di permukaan jalan dalam kawasan perumahan itu. 
“Keadaan ini sudah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu tanpa sebarang tindakan pihak berkuasa untuk mengatasinya, ” katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk KKTDI5, Gani Zakaria yang turut meninjau keadaan saliran yang tertimbus itu berjanji akan menyuarakan masalah penduduk kepada pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM). 

Beliau berkata, tindakan bagi mengatasi masalah itu perlu dilakukan segera termasuk membina parit konkrit berbentuk U, bagi membolehkan air mengalir ke sungai dengan sempurna. 

“Jika saliran itu dibiarkan terus tertimbus dipercayai merosakkan struktur sebahagian tanah tapak kawasan perumahan itu sehingga menjejaskan kediaman penduduk di situ, 

“Kegiatan perniagaan yang terlalu dekat dengan saliran itu menyebabkan saliran itu tertimbus kerana ada pemandu yang memandu melalui permukaan parit sehingga menyebabkan konkrit pecah dan menutup permukaan saliran, ” katanya. 

No comments:

Post a Comment