Thursday, December 16, 2010

Khalid dakwa dapat pelaburan RM6.5 bilion


SHAH ALAM 15 Dis. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor hari ini mendakwa prestasi pelaburan di negeri itu bagi sembilan bulan pertama tahun ini sangat memberangsangkan apabila tampil dengan angka pelaburan yang telah diluluskan sebanyak RM6.533 bilion.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebanyak RM2.757 bilion atau 42 peratus merupakan pelaburan tempatan manakala 58 peratus atau RM3.775 bilion adalah pelaburan asing.
Beliau berkata, jumlah pelaburan itu melibatkan sebanyak 245 projek yang telah diluluskan dan mewujudkan 16,966 peluang pekerjaan.
"Sebanyak 38 peratus atau 154 projek ini adalah projek baru dengan nilai pelaburan melebihi RM2.519 bilion.
"Sebanyak 91 projek atau 62 peratus lagi merupakan projek pembesaran dan pelbagaian dengan nilai pelaburan melebihi RM4.013 bilion.
"Dengan jumlah pelaburan ini, Selangor mendahului negeri lain di Malaysia dan telah menyumbang sebanyak 31 peratus jumlah keseluruhan pelaburan negara diikuti Johor dan Pulau Pinang," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini petang ini.
Menurut Abdul Khalid lagi, pelabur Jepun merupakan penyumbang terbesar dengan pelaburan melebihi RM1.884 bilion diikuti Cayman Islands (RM531.6 juta) dan Singapura melebihi (RM393.664 juta).
Bagaimanapun kata beliau, di segi bilangan projek, Singapura mencatatkan jumlah tertinggi dengan 19 projek.
"Jumlah pelaburan sepanjang tempoh Januari hingga September 2010 ini melebihi nilai pelaburan yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2009.
"Ini kerana pada 2009, Selangor berjaya memperoleh 138 projek dengan pelaburan RM2.718 bilion dan menyediakan 11,059 peluang pekerjaan.
"Peningkatan jumlah pelaburan ini membuktikan keyakinan pelaburan terhadap negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan yang utama di Malaysia," kata beliau lagi.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian sedia ada.
"Anak syarikat kerajaan negeri, SSIC Berhad (Selangor State Investment Centre) juga sering mengadakan pertemuan-pertemuan dengan para pelabur bagi berbincang secara terus berhubung isu dan masalah yang dihadapi oleh para pelabur untuk diselesaikan segera," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment