Thursday, December 16, 2010

Pemuda OKU lecur seluruh badan kerana alahan ubat


KEADAAN Hassan Khamis, seorang pemuda OKU yang kini dirawat di Hospital Klang.


KLANG 15 Dis. - Seorang pemuda kurang upaya (OKU) yang melecur seluruh badan akibat alahan ubat kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini sejak 9 Disember lalu.
Menurut Khamis Haron, beliau hanya mengetahui keadaan yang menimpa anaknya, Hassan, 23, setelah dipindahkan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru ke HTAR pada hari yang sama.
Beliau berkata, sebelum itu anaknya yang ditempatkan di bawah pengurusan Taman Sinar Harapan, Tampoi, Johor Bahru dimasukkan ke HSA kerana diserang penyakit kulit.
"Tetapi apabila melihatnya di hospital di Johor Bahru itu, saya dapati keadaan semakin serius sebab itu saya mengambil keputusan membawanya ke HTAR.
"Apa yang saya kesal ialah keadaan anak saya ini bukan dimaklumkan kepada saya oleh pengurusan Taman Sinar Harapan tetapi oleh pegawai HSA yang menghubungi saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Khamis memberitahu, anaknya lumpuh sebelah kanan sejak berusia belasan tahun dan dihantar ke Taman Sinar Harapan bagi membolehkannya mempelajari sesuatu bagi berdikari.
Namun ujarnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila keadaan kesihatan anaknya tidak diberi perhatian malah sehingga hari ini tiada wakil Taman Sinar Harapan atau dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang melawat Hassan di HTAR.
Beliau juga mendakwa anaknya yang memiliki kad OKU itu tetapi tidak pernah mendapat bantuan JKM seperti yang diperuntukkan oleh kerajaan.
Sementara itu Utusan Malaysia yang melawat Hassan di HTAR mendapati, keadaan pemuda itu semakin pulih dengan kulit-kulit yang melepuh sudah mula kering.
"Bagaimanapun dia masih tidak boleh mengunyah makanan kerana bibirnya turut melecur," kata Khamis.

No comments:

Post a Comment