Thursday, December 16, 2010

'Saya terima dengan hati terbuka'


KOTA BHARU 15 Dis. - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman (gambar) menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes tuduhan rasuah membabitkan dirinya sebagai bukti beliau tidak terjebak dengan gejala tersebut.
Beliau yang juga menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz berkata, keputusan SRPM untuk menolak segala tuduhan serta fitnah yang dilemparkan ke atasnya sebelum ini yang disifatkan lebih berunsur provokatif dan khianat oleh pihak tertentu.
"Saya rasa tak perlu ulas panjang. Bak kata pepatah, yang batil akan lenyap setelah timbulnya kebenaran. Itu keputusan SPRM, saya terima dengan hati terbuka. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menjalankan siasatan dengan penuh bertanggungjawab," katanya sewaktu dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Ariffahmi berkhidmat selama lapan tahun di PMBK dan dilantik sebagai CEO pada 20 September tahun lalu, telah mencetuskan kontroversi amalan nepotisme dalam Pas selain kemelut dalaman PMBK yang dikaitkan dengan soal salah urus tadbir dan kewangan sehingga menuntut SPRM membuat siasatan.
Susulan itu, beliau dinasihat melepaskan jawatannya oleh Nik Abdul Aziz selepas mendapat tekanan daripada pimpinan Pas demi menjaga nama baik parti itu, seterusnya menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri ini.
Kemuncak kepada segala kontroversi apabila seorang blogger yang juga pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Azidi dipecat daripada jawatannya setelah timbul cakap-cakap yang mengaitkan beliau sebagai punca siasatan SPRM ke atas sayap pelaburan Kerajaan Pas Kelantan itu.
Abdul Ariffahmi melepaskan jawatannya secara rasmi Mac lalu.
Bagaimanapun, SPRM hari ini dilaporkan menutup kes berhubung pelantikan beliau sebagai CEO PMBK kerana mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkannya.

No comments:

Post a Comment