CHETOK – Seorang warga emas di sini risau memikirkan keselamatan dua cucunya ketika hujan lebat kerana mungkin mengakibatkan rumahnya di Kampung Cabang Tiga, Chetok yang berusia lebih 30 tahun roboh akibat dipukul ribut.
Zainab Samat, 61, berkata, ekoran kesukaran hidup, dia tidak mampu membaiki atap rumahnya yang bocor dan dinding reput ekoran anai-anai.
“Setiap kali hujan, mak cik dan dua cucu terpaksa berteduh di bahagian dapur kerana risau angin kuat akan merobohkan rumah,” katanya semalam.
Zainab berkata, anaknya, Sabariah Mat Daud, 32, yang juga ibu tunggal bekerja di Pengkalan Chepa bagi menyara keperluannya dan dua anaknya yang masih kecil.
Katanya, cucunya, Aiman Afifi Hishamudin, 12, bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini manakala adiknya, Aida Wanis Hishamudin masih bersekolah di tahun tiga Sekolah Kebangsaan Cabang Tiga Chetok.
Menurutnya, dia mengambil upah menoreh getah berdekatan rumah bagi menambahkan pendapatan bagi menyara keperluan pembelajaran dua cucunya itu.
“Memandangkan Aiman Afifi adalah murid cemerlang di sekolah, makcik mahu pastikan semua kelengkapan sekolahnya dapat disediakan, namun untuk mendapatkan rumah yang baik, terlalu sukar.
“Makcik cuma mahu Aiman Afifi dan Aida Wanis dapat mengulang kaji pelajaran dengan baik, tanpa ada perasaan risau mengenai keselamatan mereka ketika belajar menjelang hujan,” katanya.
No comments:
Post a Comment