Friday, January 28, 2011

Tabah jaga suami lumpuh



PONTIAN - “Biar apa pun keadaannya, dia tetap suami saya meskipun keadaannya tidak seperti dulu,” kata isteri kepada Nazery Awang, 50, selepas lelaki itu lumpuh dan mengalami kecederaan serius di bahagian otak.

Fatimah Md Noor, 48, berkata, kasih sayangnya terhadap Nazery tidak pernah luntur meskipun suaminya itu lumpuh dan tidak lagi mampu menjalani kehidupan normal berikutan mengalami masalah gangguan saraf otak.

Malah, Fatimah menganggap keadaan suaminya itu sebagai ujian Allah untuk membuatkannya lebih kuat dan berani mendepani hidup selain tabah menjaga Nazery serta dua lagi anaknya.

“Dugaan ini terpaksa saya hadapi memandangkan dia (Nazery) sudah tidak lagi berupaya dan sukar untuk mengingat selepas terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Pontian, di sini.

Nazery yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Cawangan Pontian terbabit dalam kemalangan pada 20 Disember tahun lalu selepas motosikal yang ditungganginya disondol seekor babi hutan di Kampung Pontian, Kuala Rompin.

Akibat kemalangan itu, Nazery dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selama 18 hari sebelum menjalani pembedahan otak sebanyak dua kali di hospital sama.

Fatimah berkata, nasib Nazery kini hanya bergantung kepada tiub getah untuk menyalurkan makanan dan membuang najis kerana suaminya itu tidak lagi berupaya sejak peristiwa itu.

“Tanggungjawab menjaganya terletak di bahu saya memandangkan kesihatan suami tidak lagi seperti dulu dan dia hanya meminum susu khas untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pontian, Mohd Azrul Ali menyifatkan Nazery sebagai seorang pemimpin yang dihormati di kampung itu dan aktif dalam program kemasyarakatan.

“Sebagai pemimpin dalam kalangan Pemuda, saya mengenali Nazery kerana ketokohannya dan kami amat bersimpati dengan keadaan serta kesulitan yang sedang ditanggung lelaki ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment