TRIPOLI: Pegawai kerajaan Libya semalam menunjukkan kawasan perkuburan yang didakwa menempatkan mangsa serangan tentera Bersekutu ke atas negara itu.
Sambil diiringi anggota keselamatan, wartawan asing melihat kemarahan penyokong Muammar Gaddafi terhadap serangan peluru berpandu awal pagi kelmarin.
Waris mangsa memberikan kenyataan berbeza-beza mengenai apa sebenarnya berlaku sehingga saudara-mara mereka terbunuh.
Seorang lelaki, Muhammad Salim, berkata serangan udara itu memusnahkan rumah anak saudaranya sehingga budak perempuan berusia tiga setengah bulan terbabit terbunuh.
Katanya, ibu mangsa pula cedera.
Bagaimanapun, bapa budak itu mendakwa serangan berkenaan tidak menyebabkan sesiapa tercedera.
Seorang remaja pula mempertikaikan apa yang berlaku itu kerana membunuh orang tidak berdosa.
“Inikah mereka anggap demokrasi? Semua ini tidak lebih daripada pembunuhan orang awam dan bayi!” katanya.
Mereka kemudian menggesa supaya jihad dilancarkan bagi mempertahankan Libya.
Kematian seorang daripada mangsa, Ramadan al-Zirgany, turut menimbulkan kekeliruan.
Ketika sesetengah saksi berkata Ramadan bekerja sebagai pemandu teksi, saksi lain mendakwa dia sebenarnya menganggur.
Mereka juga gagal bersepakat mengenai usia dan bagaimana Ramadan terbunuh.
Sebahagian mendakwa Ramadan terbunuh akibat dihempap dinding konkrit yang runtuh selepas terkena bom.
Saksi lain mendakwa Ramadan terbunuh apabila kereta dinaikinya terkena peluru berpandu.
Penduduk lain pula mengadu Libya sengaja dipilih negara kuasa besar Barat yang mengamalkan dasar talam dua muka.
Mereka mempertikaikan mengapa tindakan ketenteraan hanya dilakukan di Libya dan Barat tidak berbuat apa-apa terhadap krisis di Bahrain dan Yaman.
Pekerja syarikat bekalan air, Muhammad al-Himalee, 30, berkata apa yang berlaku adalah konspirasi jahat Barat ke atas Libya.
“Apa yang berlaku tidak ada kena-mengena dengan kerajaan Libya,” katanya.
Bagaimanapun, semua penduduk yang hadir di tanah perkuburan itu bersetuju bahawa Libya menjadi sasaran kerana simpanan petroleumnya.
Peniaga pakaian, Ahmad al-Dawee, 30, berkata jika Barat mahu menguasai minyak Libya, mengapa mereka mesti membunuh orang awam.
“Jika mereka mahu mencuri minyak kami, silakan, tapi kami akan membakar mereka sepanjang proses itu,” katanya.
Seorang pegawai perubatan kerajaan Libya berkata, seramai 64 orang terbunuh dalam serangan terbesar di rantau Arab sejak penaklukan Iraq pada 2003 itu. - Reuters
No comments:
Post a Comment