Tuesday, March 22, 2011

Venezuela kecam serangan


CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez, mengecam tindakan ketenteraan antarabangsa ke atas Libya yang dianggapnya membabi-buta dan mendesak dialog diadakan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.
Sehari selepas menganggap tindakan itu hanyalah untuk merampas kekayaan petroleum oleh Barat, Chaves menuntut keganasan ke atas Libya dihentikan.

Katanya, melontarkan bom bukanlah jawapan kepada isu konflik dalaman di negara utara Afrika itu.

“Empayar Yankee (Amerika Syarikat) memutuskan untuk menyingkirkan Muammar Gaddafi dengan mengambil kesempatan atas kebangkitan rakyat.

“Melalui lautan darah, mereka mahu menguasai minyak Libya,” katanya dalam ucapan mingguan, Alo Presidente yang disiarkan stesen radio dan televisyen Venezuela.

AS, Britain dan Perancis mula melancarkan serangan udara dan peluru berpandu ke atas sasaran terpilih di Libya sejak awal pagi kelmarin.


Ia diambil selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bagi melindungi rakyat yang bangkit mencabar Gaddafi di negara itu.

Chavez turut mengingatkan AS dan sekutunya supaya tidak memikirkan kaedah sama untuk menguasai minyak Venezuela.
“Jangan sekali-kali berfikir untuk datang ke Venezuela,” katanya.

Chavez pernah membandingkan Gaddafi dengan wira pembebasan Amerika Latin, Simon Bolivar dan mengkritik masyarakat antarabangsa kerana enggan menerima cadangannya mencari penyelesaian di Libya. - AFP

metro

No comments:

Post a Comment