Tuesday, March 22, 2011

Cubaan bunuh pemimpin Libya bukan idea bijak - Gates


DALAM PESAWAT TENTERA AS: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, berkata tidak bijak bagi tentera Bersekutu cuba membunuh Muammar Gaddafi dalam serangan ke atas Libya.
Ketika ditanya mengenai gesaan rakan sejawatannya dari Britain, Liam Fox, yang mencadangkan agar serangan itu mensasarkan Gaddafi, Gates berkata, operasi itu sepatutnya kekal dalam lingkungan resolusi diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya berpendapat adalah penting bagi kita menjalankan operasi berdasarkan mandat PBB,” katanya.

Gates yang bercakap dalam pesawat tentera Amerika yang dalam penerbangan ke Russia berkata, campur tangan di Libya itu disokong oleh “pakatan yang amat berbeza-beza” dan memberi amaran, sebarang tindakan meluaskan matlamatnya akan merumitkan keadaan. “Saya juga berpendapat, adalah tidak bijak untuk menetapkan perkara yang anda boleh atau tidak boleh mencapainya sebagai matlamat khusus,” katanya.

Dia turut memberi amaran mengenai rancangan memberi sokongan secara langsung kepada pemberontak bagi menggulingkan Gaddafi.

Katanya, isu itu perlu diselesaikan rakyat Libya sendiri. “Ada atau tidak bantuan dari luar untuk pemberontak, kita perlu tunggu dan lihat. Matlamat asalnya ialah untuk melumpuhkan pasukan tentera udara Gaddafi bagi melindungi orang awam,” katanya. - AFP

metro

No comments:

Post a Comment