Tuesday, March 22, 2011

Liga Arab ubah pendirian



TRIPOLI - Sokongan negara Arab terhadap peperangan yang diketuai Amerika Syarikat di Libya dilihat semakin rapuh selepas menyaksikan kemusnahan hebat yang disebabkan serangan itu.

Liga Arab yang mewakili 23 negara di rantau Timur Tengah itu sebelum ini menyokong pembentukan zon larangan terbang di Libya tetapi dilihat mula tidak yakin dengan keberkesanan cara itu selepas mendengar dakwaan orang awam menjadi mangsa serangan udara tentera bersekutu.

Selain itu, amaran oleh Gaddafi bahawa beliau sedia menghadapi perang yang panjang turut dikhuatiri memburukkan lagi keadaan selepas campur tangan kuasa Barat.

Namun, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa menegaskan pertubuhan itu menghormati usul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan penggunaan semua cara untuk menghentikan konflik dalaman di Libya.

Imej mayat-mayat mangsa terbakar akibat serangan Barat itu bukan sahaja menyebabkan pertubuhan itu berubah fikiran tetapi juga menyebabkan Rusia dan China menyuarakan kekesalan terhadap keganasan tentera bersekutu.

Gaddafi menganggap serangan itu sebagai cubaan penjajahan dan menegaskan rakyat Libya mempunyai kesabaran untuk berjuang dalam peperangan yang panjang.

Pemimpin Libya itu turut mengumumkan akan membuka pusat penyimpanan senjata bagi melengkapkan orang awam di negara itu dengan senjata untuk berjuang dalam peperangan tersebut.

Sekurang-kurangnya 64 terbunuh dan 100 cedera, termasuk orang awam, dalam serangan udara tentera Barat itu, sehingga semalam.

sh

No comments:

Post a Comment