KOTA BHARU - Seorang ibu yang menghidap penyakit lelah kronik merayu anak bongsunya yang menghilangkan diri sejak 13 tahun lalu, agar pulang ke pangkuan keluarga.
Mek Wok Mohamed, 79, berharap untuk menatap wajah anak ke-10 itu, Siti Norbaya Harun, sebelum memejamkan mata buat kali terakhir.
“Makcik tak tahu di mana Norbaya berada. Apa pun pulanglah Norbaya. Emak rindu pada kamu dan sebelum berlaku apa-apa pada emak, pulanglah.
“Emak sudah melupakan apa pun yang berlaku dan dapat menerima Norbayah seadanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Puteh di sini.
Mek Wok berkata anaknya itu yang kini berusia 28 tahun keluar dari rumah sehelai sepinggang dengan alasan mahu keluar ke bandar.
“Anak makcik tu pinjam basikal jiran ketika itu dan tidak pulang-pulang sehingga kami buat laporan polis pada sebelah petang,” katanya.
Beliau berkata, basikal tersebut ditemui semula di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II, tiga hari selepas itu.
Mek Wok berkata, Siti Norbaya ada menghubungi rakannya beberapa hari selepas menghilangkan diri tetapi tidak menyatakan lokasinya ketika itu.
“Kali terakhir Norbaya telefon adalah 10 tahun lalu dan hanya memberitahu berada di Negeri Sembilan, tetapi tidak menyatakan alamatnya dan beritahu dia selamat. Selepas itu kami tidak lagi mengetahui di mana dia berada,” katanya.
Abang Siti Norbaya, Rozali, 43, juga turut merayu adiknya agar melupakan sengketa lama dan pulang ke rumah.
“Kalau ada (sengketa) kami sudah lama lupa dan kalau dia sudah berkahwin kami juga akan menerima suami dan anak-anaknya itu,” katanya.
Rozali juga meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai Siti Norbaya agar menghubunginya 019-9896196. - Bernama
No comments:
Post a Comment