Monday, March 28, 2011

Penyiasat fahaman Syiah perlu banyak ilmu



PENDANG – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Agama dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul meminta pihak bertanggungjawab menghantar penyiasat atau pegawai agama yang mempunyai ilmu tinggi dalam agama bagi menyiasat sama ada pengamal ajaran Syiah sesat atau tidak mengenai tanggapan segelintir pihak terhadap ajaran itu di Kampung Alor Berala Tobiar Pendang pada masa kini.

Menurutnya, pihak pejabat agama tidak perlu mengambil tindakan melulu terhadap pengikut fahaman itu, tetapi harus mengambil tindakan menyiasat dengan lebih teliti di pusat ajaran fahaman itu terhadap dakwaan segelintir pihak yang menyatakan ajaran Syiah di situ sesat.

“Mereka perlu menyiasat dan mengumpul bukti bagi mendakwa sama ada ajaran itu sesat atau tidak dan semua kuasa itu adalah dari pejabat agama dan mereka perlu bertindak kerana perkara ini menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

“Penyiasat perlu hadir ke kuliah di tempat pembelajaran itu bagi melihat sendiri ilmu pembelajaran mereka dan dalam siasatan ini Jabatan Agama Islam perlu menghantar penyiasat yang mempunyai ilmu tinggi dalam hal ini dan pakar dalam mazhab,” katanya ketika diminta mengulas mengenai fahaman Syiah di Tobiar Pendang.

Sementara itu, Mohamed Taulan berkata, penyiasat yang dihantar itu perlu tahu dan mempunyai ilmu yang mendalam mengenai Syiah supaya keraguan pelbagai pihak mengenai ajaran itu terjawab.

“Saya berharap supaya pihak jabatan agama dapat mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah ini dan tidak perlu membiarkan penceramah terus menyebar kepada orang ramai mengenai Syiah jika perkara ini belum diputuskan lagi oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK),” katanya.

No comments:

Post a Comment