Monday, March 28, 2011

Ramai pelajar bakal kembali ke sekolah sebagai yatim ekoran tsunami


YATIM ANGKARA TSUNAMI: Naho Tsuchiya, 15 tahun (kanan), dan adiknya, Takashi Tsuchiya, 13 tahun, di rumah guru tari mereka di bandar Rikuzentakata, yang dilanda tsunami pada 11 Mac lalu. -- Foto AFP


RIKUZENTAKATA (Jepun): Ibu bapa seorang remaja, Naho Tsuchiya, tidak akan ada bersama untuk mengucapkan selamat kepadanya apabila dia memulakan sekolah tinggi minggu depan.
Dia dan adiknya, Takashi, kini anak yatim selepas tsunami 11 Mac lalu di Jepun meragut nyawa ibu bapa mereka.'Pada hari itu, Takashi ada bersama saya di sekolah, jadi kami selamat. Ibu bapa saya cuba berlindung di sebuah dewan sukan tetapi bangunan itu hanyut,' kata Naho.Naho, 15 tahun, dan Takashi, 13 tahun, adalah antara ramai lagi pelajar dan kanak-kanak, yang belum diketahui bilangannya, yang menjadi yatim ekoran tsunami yang meranapkan bandar-bandar di pantai timur laut Jepun pada 11 Mac lalu.Mungkin terdapat hingga ribuan kanak-kanak yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya sekali.Di seluruh negara, lebih 25,000 orang mati atau hilang setelah lebih dua minggu berlakunya bencana paling dahsyat di Jepun dalam lebih sekurun.Naho pasti ibu bapanya itu sudah meninggal dunia.'Kami mendapat tahu tentang ibu pada 12 Mac dan mengenai ayah pada 14 Mac,' katanya.Dengan rumah mereka tinggal serpihan dan barang milik mereka hilang entah ke mana, anjing kesayangan mereka, Chako, satu-satunya yang tinggal bagi remaja itu.Haiwan itu diselamatkan oleh bapa mereka sebelum beliau memandu semula ke dewan sukan tempat ibu mereka berlindung kerana menyangka ia selamat.Namun, benteng tsunami di Rikuzentakata tidak dapat melawan saiz dan kederasan ombak besar itu yang menyebabkan sekitar 2,300 orang di bandar itu atau 10 peratus penduduknya hilang atau mati.Selepas kejadian itu, Naho and Takahashi terpaksa tidur dalam kesejukan di lantai sekolah mereka bersama ratusan orang lain yang telah dipindahkan.Di situlah kedua-dua beradik itu ditemui guru tari mereka, yang membawa mereka pulang ke rumahnya.'Saya pernah mengajar ayah mereka menari juga, jadi saya sudah lama kenal kededua beradik ini,' kata guru tari itu, Cik Shimizu Kiwako, 74 tahun, sambil menambah beliau akan menjaga mereka selama perlu. -- AFP. 

No comments:

Post a Comment