Monday, March 28, 2011

Video lucah dan dosa politik





Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik. Dalam Islam, perbuatan dedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan dilarang Allah dan rasul-Nya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama yang menyangka itu suruhan syarak. Malangnya praktik ini diamalkan ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita. Sama ada Pas, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka hina rupa ciptaan Allah yang ada musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar dan mamak. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik. Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi SAW bersabda: “Sesiapa menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).



Aib peribadi



Islam larang didedahkan aib peribadi yang tidak babitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan dedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang tuduh tanpa empat saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi – sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama. Firman Allah (maksudnya): “Dan orang-orang yang lemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak bawa empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).

Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah lakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi SAW tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu hapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah peringatan bagi orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.



Bukan Bukti Asas



Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah, bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyi dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh intipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk pastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis; “Barang siapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya�.” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran daripada orang lain. Ini kerana Islam tidak jatuhkan hukuman kepada orang yang buat kemungkaran secara bersembunyi. Diserahkan hanya kepada Allah untuk hisab pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia lakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih: (bermaksud): ”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk jatuhkan hukuman terhadap kemungkaran dilakukan secara sembunyi. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).



Berbeza dengan kes kezaliman



Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa dan rasuah. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam izinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang boleh mudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Juga boleh dedahkan kepada pihak berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.



Tidak perlu suruhanjaya



Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila ia nyata dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu lakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus kita intip. Allah Taala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah panjat rumah seorang lelaki dan dapatinya dalam keadaan tidak wajar. Lelaki tersebut membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah Taala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu intip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah lakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu minta izin serta beri salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak beri salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya� Maka ketahuilah sesiapa yang kunci pintu rumahnya dan sembunyi di sebalik dindingnya, tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut... ”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).



Ingatan



Muslim hendaklah elak diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu dosa; dan janganlah kamu intip mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).



Bangkit generasi baru!



Marilah kita bermufaraqah atau tinggal pelakon atau watak selekeh dan rela halalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa kira parti! Mereka mesti diusir dari permainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka selak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan relakan apa saja watak mereka lakonkan. Politik kita perlu nafas baru dan dibersihkan dari golongan jijik dan kotok ini! Kita perlu politik idea, bagaimana dan cara bangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini! 

No comments:

Post a Comment