TOKYO - Kerajaan Jepun merancang untuk menimbus reaktor nuklear panas Jepun itu dengan pasir atau konkrit untuk menghentikan krisis yang melanda negara itu tetapi pakar mengatakan ia terlalu awal untuk berbuat demikian, semalam.
Kerajaan Jepun merancang untuk menutup loji nuklear Fukushima Daiichi itu dengan pasir atau konkrit sebagai satu langkah kecemasan.
Namun, pakar berpendapat rancangan itu terlalu awal untuk dilakukan dan akan menjadi satu kesilapan besar serta boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Pegawai Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama berkata, rancangan itu dipercayai bukan satu pilihan yang realistik.
"Memang benar kami akan membina tembok konkrit di kompleks loji nuklear itu suatu hari nanti tetapi bukan sekarang," katanya.
Sementara itu, pakar nuklear di Universiti Franciscan, Ohio, Alex Sich pula berpendapat membina tembok konkrit itu adalah satu risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada seluruh dunia.
Menurutnya, struktur yang menyekat bahan radioaktif akan rosak jika muatan berat dicampak ke atas mereka, menyebabkan jalan baru dibuka untuk bahan merbahaya itu keluar.
"Struktur reaktor di Jepun jauh berbeza. Ia dikelilingi beberapa penghalang yang direka khas untuk menyekat bahan radioaktif daripada teras reaktor.
"Jika muatan berat dicampakkan pada ketinggian ratusan meter menggunakan helikopter, ia boleh menyebabkan beberapa saluran dalaman retak dan mendedahkan teras reaktor itu," katanya.
No comments:
Post a Comment