Sunday, March 20, 2011

Cuaca buruk mudahkan penyakit berjangkit



Laporan R Magendran di Tokyo
bhnews@bharian.com.my
2011/03/20

Kekurangan makanan hantui mangsa gempa, tsunami Jepun 

SENDAI: Kehidupan di pusat penempatan sementara bagi mangsa gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu menjadi semakin sukar berikutan penularan beberapa penyakit berjangkit seperti influenza yang semakin serius, ditambah pula cuaca buruk dengan ribut salji semakin kerap, terutama bagi warga tua yang sememangnya dirundung masalah kesihatan.
Kesukaran penghantaran bekalan makanan, air, dan alat pemanas hawa ke wilayah Tohoku dan kawasan tertentu wilayah Kanto di timur laut Jepun yang musnah teruk dilanda bencana alam itu dikatakan menjadi punca masalah terbabit. Tidak kurang juga mangsa di pusat perlindungan masih trauma berikutan kejadian itu serta tidak dapat menghadapi tekanan kehidupan di pusat penempatan sementara.
Di luar Sekolah Rendah Kasshi di Kamaishi, sebuah pekan di Iwate, dengan kira-kira 300 orang sedang berlindung, notis ditampal di pintu memberi amaran bahawa mangsa di premis terbabit dijangkiti penyakit seperti selesema dan gastrik. Senarai mangsa di pusat terbabit turut ditampal bersama notis berkenaan tetapi orang luar dilarang memasukinya. 

Jururawat sekolah terbabit, Michiko Takahashi, 52, berkata bekalan makanan dan minuman memadai tetapi tidak cukup berkhasiat bagi membantu mangsa melawan jangkitan penyakit. 

“Saya khuatir penularan penyakit bertambah serius sekiranya cuaca tidak bertambah baik. Biar apa pun, kita perlu membendungnya segera kerana keadaan akan bertambah buruk sekiranya berlaku gelombang kedua wabak ini. 

“Selain itu, ramai warga tua yang berada di sini kehilangan bekalan ubat mereka ketika melarikan diri daripada tsunami, kebanyakannya sudah beberapa hari tidak mengambil ubat darah tinggi,” katanya yang bertanggungjawab terhadap kesihatan mangsa di pusat perlindungan terbabit. 
Di pusat komuniti Otsuchicho di Iwate, wabak cirit birit dan muntah sudah mula menular dan difahamkan ia berpunca daripada tindakan mangsa yang terselamat meminum air sungai Otsuchigawa sejak tiga hari lalu selepas bekalan air bersih terputus. 

Bagaimanapun, sepanjang perjalanan wartawan Media Prima pulang ke Tokyo dari Sendai semalam, puluhan lori dan kenderaan milik Persatuan Palang Merah Jepun (JRCA) dari segenap pelusuk Jepun sedang menuju ke wilayah timur laut dengan bekalan ubat-ubatan selain doktor bagi merawat mangsa gempa bumi serta tsunami. 

Seorang anggota pasukan JRCA dari Osaka, Hiroshi Gyobu, berkata ramai mangsa tsunami hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang dan ramai di kalangan mereka warga tua yang perlu mengambil ubat tertentu tetapi mereka tidak tahu nama atau jenis ubat berkenaan, sekali gus menyukarkan proses merawat mereka sekarang.

“Masalah utama adalah komplikasi akibat tekanan darah tetapi saya yakin kita akan dapat merujuk rekod perubatan mereka di hospital atau klinik kerajaan yang mereka kunjungi apabila rangkaian perhubungan internet serta telefon kembali pulih,” katanya.
-bharian

No comments:

Post a Comment