TAMAN TROPIKA – Kehadiran pekerja warga asing yang terlalu ramai ke daerah ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa penduduk setempat malah turut memberi imej buruk kepada persekitaran setempat.
Deretan rumah kedai di Taman Tropika yang terletak berhampiran sebuah pasar raya borong di sini, adalah salah satu lokasi hostel pekerja yang didiami sekurang-kurangnya 500 warga asing yang bekerja di kawasan sekitar.
Salah seorang penduduk, yang hanya dikenali sebagai Julia berkata, kewujudan hostel pekerja asing di kawasan berkenaan memberi gambaran negatif dan mengganggu pemandangan masyarakat setempat.
“Bangunan berkenaan adalah antara kawasan tumpuan orang ramai di kawasan ini kerana kedudukannya yang terletak di jalan besar berhadapan Jalan Persekutuan.
“Kewujudan asrama yang tidak teratur dan kotor dengan keadaan pakaian mereka yang dijemur dan dibiarkan bergantungan pada tingkap, memberi imej negatif kepada tempat ini kerana kawasan ini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat tetapi juga menjadi laluan utama pengunjung luar untuk berulang alik dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur,” katanya.
Selain itu, katanya, kehadiran pekerja asing yang terlalu ramai di kawasan itu disifatkan penduduk seolah-olah menjadi perkampungan kepada warga asing yang tinggal di situ.
“Kadang kala kehadiran mereka turut menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila mereka berjalan kaki beramai-ramai dalam kelompok yang besar terutamanya pada waktu tengah hari untuk ke tempat kerja.
“Kehadiran mereka yang terlalu ramai dan gemar berkelompok turut menyebabkan ketakutan kepada penduduk wanita terutamanya apabila melalui kawasan itu pada waktu malam,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap masalah yang timbul mendapat perhatian daripada pihak berwajib dan memastikan penempatan yang lebih sesuai sebagai hostel pekerja warga asing agar tidak mengganggu keselesaan masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment