BENTONG – Seorang warga emas merayu supaya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disegerakan kerana ia amat penting untuk menampung kehidupan sehariannya.
Menantu warga emas itu, Sofiah Abdullah, 52, berkata, mentuanya, Munah Bulat, 80, sebelum ini tinggal bersama adik iparnya di Perlis.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu, ibunya itu tinggal bersama dia dan suaminya, Salim Abidin, 53, di Kampung Keruntung dekat sini.
“Ketika berada di Perlis, ibu saya menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan namun selepas berpindah ke sini, bantuan terputus begitu sahaja.
“Kami sudah membawa ibu berurusan di pejabat JKM awal tahun ini untuk menyambung kembali bantuan namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diberi,” katanya.
Sofiah berkata, ibunya kini tidak sihat kerana hanya mampu berjalan menggunakan tongkat dan sering sakit.
Menurutnya, perbelanjaan seharian yang meningkat ditambah keperluan ibunya memakai lampin pakai buang setiap hari menyebabkan mereka berdua tidak berkemampuan.
“Suami hanya bekerja sebagai penjaga kebun manakala saya pula berniaga kecil-kecilan di Pasar Bentong.
“Pendapatan bulanan tidak sampai RM800 sebulan, tambahan pula rumah yang kami duduki sekarang ini juga disewa daripada penduduk sebanyak RM150 sebulan,” katanya.
Sofiah berkata, dia juga adakalanya tidak keluar berniaga kerana berdepan dengan kesan pembedahan barah payu dara yang dijalaninya enam tahun lalu.
Menurutnya, mereka berdua amat berharap supaya ibunya, diberi bantuan segera bagi meringankan penderitaan dialami.
“Sekurang-kurangnya wang bantuan yang diterima dapat digunakan untuk membeli ubat-ubatan dan barangan keperluan untuk ibu,” katanya.
Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas dari JKM berkaitan permohonan dibuat oleh Munah
No comments:
Post a Comment