Sunday, March 20, 2011

Ibu tunggal rayu segerakan bantuan



MENGABANG TELIPOT - Seorang ibu tunggal merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar mempercepatkan bantuan kewangan kepadanya kerana dia perlu menanggung tiga anak yang dua daripadanya masih bersekolah.

Salimah Muda, 44, yang kematian suami, Daham Mat Zain, 48, sebulan lalu akibat penyakit batuk berdarah hilang punca pendapatan kerana dia tidak bekerja.

Salimah berkata, dia pernah menghubungi pihak JKM bertanyakan hal itu namun diminta menunggu sehingga proses pemindahan nama suami kepada namanya selesai.

“Pihak berkenaan meminta saya menunggu sehingga tiga hingga empat bulan bagi menyelesaikan urusan pemindahan nama.

“Tempoh itu agak lama kerana saya menghadapi masalah kewangan sejak suami meninggal. Apatah lagi, sebelum ini saya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai nelayan,” katanya.

Katanya, ketika suaminya masih ada, mereka mempunyai wang persekeluarga belanjaan harian walaupun tidak semewah orang lain.

“Dulu, dalam sehari dapatlah juga RM40 dengan duit itulah kami membeli barang keperluan seperti beras dan gula.

“Kini, kami memang tiada tempat bergantung apatah lagi saya perlu membiayai perbelanjaan dua anak yang masih belajar di Tahun Lima dan Tiga di Sekolah kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot,” katanya.

Namun, Salimah berkata, dia bersyukur kerana dua anaknya itu mendapat bantuan persekolahan.

“Syukurlah mereka dapat bantuan cuma saya tidak mampu membeli keperluan lain kerana tidak bekerja,” katanya.

Salimah berkata, dia bernasib baik kerana jirannya banyak membantu memberi sumbangan beras, sayur-sayuran dan sedikit tunai. 

No comments:

Post a Comment