KUALA LUMPUR 19 Mac - Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut akibat tersedak susu ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Seksyen 10, Shah Alam, Selangor pada Rabu lalu.
Adelia Muhammad Nizzam disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan, dipercayai kira-kira sejam sebelum dia dikejarkan ke klinik itu oleh pengasuh Taska.
Bapa bayi, Muhammad Nizzam Aminuddin, 34, melahirkan kesal dengan tindakan pengasuh di Taska tersebut yang lewat menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan, selain gagal memaklumkan segera kejadian itu kepadanya.
"Ketika kejadian, saya dan isteri sedang mencari pakaian untuk arwah di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya. Apa yang saya kesalkan, pihak Taska lewat memaklumkan kejadian itu iaitu kira-kira pukul 11.30 pagi, selepas bayi kami disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan di klinik tersebut.
"Pihak klinik memaklumkan Adelia mungkin dapat diselamatkan sekiranya pihak Taska bertindak cepat dengan menghantarnya ke klinik sejurus melihat perubahan berlaku," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Adelia merupakan anak kedua Muhammad Nizzam dan isterinya, Fariza Tukir, 32. Keluarga itu yang menetap di Seksyen 13, Shah Alam baru dua hari menghantar bayi itu ke Taska tersebut.
Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada hari kejadian, namun pihak Taska juga membuat laporan polis berhubung kejadian itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob semasa dihubungi mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
No comments:
Post a Comment