Wednesday, June 29, 2011

85 penyokong Bersih ditahan


KUALA LUMPUR 28 Jun – Seorang Senator dan dua warga asing antara 85 individu yang ditahan kerana didapati menjalankan aktiviti mempromosi perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2 di seluruh negara sejak Jumaat lalu.

Kesemua 56 lelaki dan 29 wanita itu ditahan di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menerusi Ops Padam 4.

Mereka berusia lingkungan 18 hingga 64 tahun manakala seorang remaja berusia 16 tahun dibebaskan serta-merta kerana masih di bawah umur.

Sumber memberitahu, seramai 82 orang yang ditahan telah dilepaskan selepas direkodkan keterangan manakala tiga daripadanya masih ditahan.

Menurutnya, individu yang masih dalam tahanan polis ialah seorang senator lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga Korea Selatan.

“Kesemua mereka ditahan kerana menghasut masyarakat menghadiri perhimpunan haram Bersih 2 dengan mengedar risalah hasutan, menjual, memiliki dan memakai baju T kuning yang mempunyai logo Bersih 2 bagi tujuan promosi.

“Selain itu, ada juga yang ditahan kerana mengadakan perhimpunan haram, melakukan hasutan dan bertindak mencetak risalah mengenai Bersih 2,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah sumber itu, jumlah tangkapan berkenaan termasuk sekumpulan 31 penyokong Bersih yang ditahan di Pulau Pinang kerana cuba menghidupkan fahaman komunis.

Katanya, wanita warga Korea Selatan iaitu Min Young Song, 24, pada mulanya ditahan di Johor, Sabtu lalu, namun selepas dibebaskan dia sekali lagi ditahan di ibu negara semalam.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment