Wednesday, July 13, 2011

Adik Hamid Karzai dibunuh


Ahmed Wali Karzai
Ahmed Wali Karzai


Ahmed Wali ditembak rakan baik yang menjadi tetamu di rumah

KANDAHAR: Adik lelaki presiden Afghanistan dan tokoh berpengaruh di kawasan wilayah bergolak selatan Kandahar, Ahmed Wali Karzai, ditembak mati oleh seorang rakan lamanya semalam.
Walaupun Taliban mengaku bertanggungjawab, pegawai perisikan Afghan memberitahu yang ketua majlis wilayah Kandahar itu dibunuh oleh seorang tetamu.Pegawai rasmi agensi perisikan Afghanistan berkata pembunuh itu adalah rakan lama yang melawatnya. Beliau berkata lelaki bersenjata itu tidak diperiksa sebaik tiba di kediaman Wali Karzai kerana hubungan baiknya dengan lelaki itu.

Suspek Sardar Mohammad, adalah rakan lama dari kampung Karzai dan dia ditembak mati oleh pengawal keselamatan selepas pembunuhan.

“Beliau mengunjungi Wali di rumahnya. Mereka berjumpa bersendirian di bilik, lelaki itu mengambil pistol dan menembak mati Wali. Pengawal keselamatan bergegas masuk ke bilik itu dan membunuh Sardar,” kata pegawai rasmi.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Seddiq Seddiqi berkata: “Seorang tokoh terkemuka Afghanistan terbunuh. Kami mengutuk serangan itu. Beliau ditembak di rumahnya oleh seorang tetamu yang menziarahinya bukan ditembak pengawal peribadinya jam 11.30 pagi waktu tempatan,” katanya.
Rakan keluarga berkata beberapa tetamu Wali Karzai yang lain turut terbunuh dalam serangan itu tetapi tiada pengesahan.

Pembunuhan itu terjadi di saat Presiden Afghanistan Hamid Karzai mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang mengadakan lawatan mengejut ke Afghanistan dan mengumumkan pengunduran 1,000 tenteranya hujung tahun depan.

Wali Karzai, ketua majlis wilayah Kandahar, adalah tokoh yang banyak dibelenggu kontroversi dengan tuduhan mempunyai hubungan tidak baik dalam perdagangan candu Afghanistan dan firma keselamatan persendirian.

Dokumen Amerika yang dibocorkan laman web pembocor rahsia WikiLeaks akhir tahun lalu turut menuduh beliau sebagai pengusaha dadah yang mengamalkan rasuah tetapi pegawai rasmi Barat berdiam diri terhadap rekod buruk adik tiri presiden itu. – AFP Berita Harian Online | Adik Hamid Karzai dibunuh

No comments:

Post a Comment