Wednesday, July 13, 2011

PM Mesir janji rombak Kabinet

KAHERAH 12 Julai - Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf semalam menyatakan beliau akan merombak Kabinet dalam tempoh seminggu, ketika penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi membantah tindakan lambat yang diambil dalam melaksanakan perubahan di negara ini.

Menurutnya, beliau turut mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Essawy untuk mempercepatkan pendekatan mengembalikan keselamatan dan keamanan di Mesir.

Penunjuk perasaan menolak pengumuman Sharaf itu yang disiarkan di televisyen rasmi dan mengancam untuk meneruskan demonstrasi.

Sharaf berkata, beliau mengambil keputusan untuk merombak Kabinet dalam tempoh seminggu bagi mencapai objektif pemberontakan rakyat baru-baru ini.

''Rombakan tersebut juga akan melibatkan gabenor-gabenor wilayah bagi memenuhi aspirasi rakyat,'' katanya.

Beliau juga menggesa Majlis Kehakiman Agung untuk mengadakan perbicaraan terhadap bekas pegawai di bawah bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan anggota polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan dalam pemberontakan berkenaan.

Penunjuk perasaan yang mendengar ucapan Sharaf melalui pembesar suara di Dataran Tahrir kemudian menolak tindakan tersebut.

''Kami datang ke Dataran Tharir dan akan terus berada di sini sehingga Mubarak dan rejimnya didakwa,'' kata bekas pemain bola sepak yang turut berkhemah di dataran tersebut, Nader el-Sayed.

Penunjuk perasaan di Iskandariah pula mengibarkan kain rentang tertera 'Kami menolak kenyataan Sharaf'. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment