WASHINGTON 12 Julai - Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan mempunyai berat badan lebih 7.3 kilogram sekali gus mencipta rekod di sebuah hospital di Longview, Texas, semalam.
Bayi lelaki yang diberi nama JaMichael itu merupakan anak kepada pasangan Janet Johnson dan Michael Brown yang dilahirkan melalui kaedah pembedahan Cesarean pada awal pagi Jumaat lalu dan beratnya melebihi jangkaan doktor sebanyak 1.8 kilogram.
"Kami terpegun apabila melihatnya. Saya tidak percaya dia (JaMichael) sebesar itu. Kami terpaksa memulangkan semula baju-baju bayi yang dibeli kerana ia begitu kecil untuknya," kata ibunya.
Pihak Pusat Perubatan Good Shepherd turut mengalami kesukaran apabila pusat jagaannya tidak dapat menyediakan lampin pakai buang bersaiz besar.
Akhbar tempatan melaporkan, Johnson menghidap penyakit kencing manis sewaktu hamil dan ia mempengaruhi tumbesaran bayinya.
Keadaan tersebut menyebabkan wanita hamil tidak memberi tindak balas terhadap insulin di dalam tubuhnya dan melepaskan paras gula melebihi jumlah sepatutnya kepada bayi dalam kandungan.
JaMichael akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal bagi memantau paras gula dalam darahnya. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara
No comments:
Post a Comment