Wednesday, July 13, 2011

Schwarzenegger beraksi lagi

Arnold Schwarzenegger
Arnold Schwarzenegger

LOS ANGELES: Dua bulan selepas menangguhkan kemunculan semula di Hollywood ekoran pendedahan skandal seks, Arnold Schwarzenegger kini bersedia menjadi tumpuan sekali lagi.

Bekas hero filem aksi yang menjadi ahli politik itu dijadual memulakan penggambaran filem The Last Stand pada September ini.


Sumber berkata, The Last Stand adalah filem era zaman lampau sesuai untuk seorang lelaki 63 tahun yang mempunyai masalah moral.

“Kami sentiasa perlukan seorang ikon untuk filem begitu,” katanya kepada sebuah laman sesawang hiburan Hollywood, semalam.


Schwarzenegger menjadi perhatian dunia apabila didapati manjalin hubungan dengan pembantu rumahnya dan menyebabkan wanita terbabit hamil dan melahirkan anak luar nikah, 13 tahun lalu.


Pendedahan itu turut memusnahkan rumah tangga Schwarzenegger bersama Maria Shriver.

Laman sesawang Deadline Hollywood adalah sumber berita pertama melaporkan pembabitan Schwarzenegger dan ia disahkan majalah Entertainment Weekly.


Menurut sumber, penggambaran filem itu akan diteruskan dan Schwarzenegger, 63, menjadi bintang utamanya.

Mei lalu, Schwarzenegger berkata, dia menangguhkan seketika perbincangan untuk menerbitkan filem baru Terminator serta projek lain bagi memberi perhatian kepada masalah peribadi.


Minggu lalu, Maria memfailkan permohonan bercerai daripada bekas Gabenor California itu selepas 25 tahun hidup sebagai suami isteri.


Pasangan itu mempunyai empat anak.


Media Amerika Syarikat mempersenda Schwarzenegger selepas dia terbukti mempunyai anak luar nikah dan menyimpan rahsia itu sehinggalah ia dibongkar beberapa bulan lalu.


Filem The Last Stand bakal diarahkan sutradara Korea Selatan, Jee-woon Kim, dan dijangka ditayangkan pada 2012.


Sebelum skandal seksnya terbongkar, Schwarzenegger sibuk menyiapkan filem Cry Macho.


Bekas juara bina badan dunia itu juga menyatakan rancangan menggunakan suaranya untuk filem animasi The Governator, mengenai seorang hero rahsia.


Bagaimanapun, kedua-dua projek itu kini masih digantung. - Reuters

myMetro | Schwarzenegger beraksi lagi

No comments:

Post a Comment