KOTA BHARU 12 Julai - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan mempelopori penggunaan madu lebah bagi merawat ulser diabetes dan mengurangkan masalah inflamasi pada mukosa mulut pesakit kanser nasofarign yang menjalani rawatan radiasi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Penyelidikan melibatkan madu lebah untuk kedua penyakit tersebut telah dijalankan oleh pakar perubatan hospital berkenaan kira-kira 20 tahun lalu.
Kini, kajian tersebut diteruskan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyumbangkan madu lebah tualang dan gelam bermula tahun 2005.
Berikutan USM dianugerahkan status universiti penyelidikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2005, sekumpulan pakar perubatan mengambil peluang memulakan penyelidikan melibat madu tempatan.
Projek penyelidikan pertama bertajuk Keberkesanan Pengambilan Madu Terhadap Gejala Pernafasan di Kalangan Jemaah Haji Malaysia berjaya dijalankan dan ia merupakan antara 46 penyelidikan madu yang telah dan sedang dijalankan di USM Kampus Kesihatan.
Pengarah Kampus USM Kampus Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, sebanyak RM2 juta Geran Penyelidikan Universiti dianugerahkan kepada pensyarah bagi menjalankan penyelidikan madu lebah tualang tersebut.
Menurutnya,di samping menjalankan kajian keberkesanan penggunaan madu untuk pelbagai jenis penyakit, penyelidikan tersebut turut membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai khasiat perubatan madu tempatan secara saintifik.
''Pengetahuan yang diperoleh menyebabkan pasaran madu tualang kini meningkat sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada pencari lebah dan penternak terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara USM Kampus Kesihatan dan Universitas Hasanuddin Makasar serta Syarikat Aifa Health Sdn. Bhd. di Kubang Kerian di sini, baru-baru ini.
Universiti Hasanuddin Makasar diwakili oleh Pembantu Rektor, D.A Suriamiharja, manakala Syarikat Aifa Health Sdn. Bhd. oleh Ketua Eksekutifnya, Aisan Fadhli Ab. Halim.
Mafauzy menambah, kajian yang dilakukan itu juga berbentuk serampang dua mata, di samping mengkaji khasiat madu lebah, usaha itu juga membantu meningkatkan taraf hidup pencari lebah yang rata-ratanya daripada golongan bottom bilion.
USM katanya, prihatin dengan nasib golongan berkenaan dan mendapati hasil kajian membolehkan mereka meningkatkan pengetahuan serta mempromosikan madu lebah yang dicari seterusnya menjadikan ia sebagai sumber pekerjaan.
''Harga madu di pasaran juga meningkat dan menjadi pilihan ramai sebagai makanan kesihatan untuk semua peringkat masyarakat,"katanya.
Tambahan pula, katanya, hasil penyelidikan melibatkan herba, madu dikenalpasti berpotensi menurunkan paras gula dalam darah serta meningkatkan kesihatan fizikal .
Katanya lagi, sehubungan itu pensyarah dan penyelidikan di Kampus Kesihatan digalakkan mendapatkan geran penyelidikan dari sumber luar untuk mempelbagaikan penyelidikan mereka dalam meningkatkan kualiti.
''Selain madu lebah, USM turut meluluskan geran di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat berjumlah RM50,000 bagi projek ternakan madu lebah kelulut.
''Setakat ini usaha membangunkan produk madu lebah kelulut bagi kegunaan merawat penyakit dan pemakanan kesihatan telah dimulakan," katanya.
Dr. Mafauzy menambah, pihaknya juga mengalu-alukan perjanjian persefahaman yang diadakan dengan Universiti Hasanuddin Makasar dalam kajian melibatkan madu lebah serta pembangunan produknya.
Beliau berharap, kerjasama itu mampu menghasilkan suatu modul perawatan yang komprehensif dan dapat ditawarkan kepada pengamal perubatan tempatan dan global.
''Begitu juga, gabungan kerjasama dengan Syarikat Aifa Health Sdn. Bhd. yang secara prinsipnya bersetuju menyumbangkan sejumlah dana untuk mengadakan sebuah Makmal Efikasi Pre-Klinik dalam menjalankan kajian berkaitan," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan perhatian ahli akademik, pelajar dan warga USM Kampus Kesihatan yang sensitif dengan keperluan masyarakat dalam membangunkan perubatan tradisional dan komplementari berasaskan madu.
Katanya, kajian berasaskan saintifik itu mampu diintegrasikan dalam sistem perubatan yang sedia ada dan usaha tersebut dapat dilihat sebagai salah satu daripada strategi Blue Oceanyang tidak memerlukan USM bersaing dengan institusi pengajian tinggi yang lain.
No comments:
Post a Comment