Wednesday, July 27, 2011

Cari bapa wali perkahwinan



KUANTAN – Seorang ibu resah memikirkan perkahwinan anaknya yang bakal berlangsung September ini setelah bekas suaminya gagal dijejaki selepas berpisah 25 tahun lalu.

Saheda Ahmad,43, ibu kepada Susilawati Ruslan, 25, buntu apabila wali anaknya itu gagal dikesan dan ia akan menyukarkan proses perkahwinan.

Bekas suami Saheda, Ruslan Abdullah, 47, yang berasal dari Kelantan berpisah dengannya ketika Susilawati masih kecil lagi, malah anaknya itu tidak pernah melihat wajah bapanya.

“Sudah puas saya menjejaki bekas suami ini kerana segala persiapan sudah diatur, tetapi wali masih belum ditemui.

“Saya bersama suami sekarang ini buntu memikirkan tarikh perkahwinan yang semakin hampir iaitu 26 September ini,” katanya.

Selain itu, anak tunggalnya itu yang turut bertugas sebagai guru di Sarawak amat berharap agar bapa kandungnya itu dapat hadir dan mewalikannya pada hari perkahwinan nanti.

“Biarpun tidak pernah melihat wajah ayahnya itu, tetapi saya sebagai ibu berharap agar majlis perkahwinan anak saya ini berjalan lancar.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat berjumpa sekali semasa hari bersejarah ini dan memperbaiki keadaan lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Saheda sendiri tidak pasti sama ada bekas suaminya itu dikatakan masih berada di bandar ini atau sudah pulang ke kampung halaman selepas berpisah.

Sehubungan itu, Saheda berkata, dia meminta bekas suaminya dapat memberi kerjasama untuk menjadi wali perkahwinan anak atau menghubunginya di talian 013-9925868 atau 017-5771452.
SH

No comments:

Post a Comment