LOS ANGELES: Ibu Michael Jackson dan empat anaknya yang lain semalam mengumumkan konsert besar-besaran bagi memperingati mendiang raja pop berkenaan.
Bagaimanapun, rancangan itu, serta merta dikecam dua abang mendian kerana tarikhnya tidak sesuai. Pertunjukan ‘Michael Forever’ itu dirancang pada 8 Oktober di Stadium Millenium, di Cardiff, Wales dan akan disiarkan secara langsung ke 30 negara di seluruh dunia, kata ibu Michael, Katherine Jackson, kakak, La Toya dan abang, Tito, Marlon dan Jackie.
“Beberapa artis terhebat dunia akan menyertai persembahan itu,” menurut laman webnya, meskipun promoter, Chris Hunt enggan menyebut nama mereka.
Hunt berkata, nama itu hanya akan diumumkan pada satu lagi sidang akhbar di London pada 3 Ogos depan.
Katherine berkata: “Anggota keluarga saya seramai mungkin akan menghadiri konsert itu. “Michael mengabdikan keseluruhan hidupnya kepada dunia menerusi cinta, muzik dan kasih sayang untuk kebaikan planet ini.
“Saya yakin acara ini akan menjadi begitu hebat dari segi skala, bakat dan imaginasi untuk meraikan secara bermakna kehidupan Michael.
Bagaimanapun, dua abang Michael, Randy dan Jermaine yang gagal untuk menganjurkan konsert selepas kematian Michael pada 2009, menyelar persembahan itu kerana ia bertembung dengan tarikh perbicaraan doktor Michael.
“Sidang akhbar hari ini (semalam) mengumumkan konsert memperingati Michael yang akan dihadiri dan disokong oleh keluarga Jackson. Bagaimanapun, kami ingin menegaskan, ia tidak menggambarkan pendapat seluruh keluarga itu,” kata mereka.
“Meskipun kami menyokong penuh hasrat untuk memperingati dan menghormati mendiang adik kami, kami mendapati sukar untuk memberikan sokongan terhadap acara itu kerana ia dijadualkan ketika perbicaraan jenayah yang membabitkan kematian Michael.
Doktor Conrad Murray yang dituduh menyebabkan kematian Michael kerana memberi ubat penahan sakit secara berlebihan kepada penyanyi itu, dijadual dibicarakan pada 20 September, kurang tiga minggu sebelum konsert di Cardiff itu dirancang diadakan, - AP
No comments:
Post a Comment