MONACO 26 Julai - Pasangan diraja Monaco yang baru berkahwin mengemukakan saman terhadap sebuah majalah Peranchis selepas mendakwa majalah itu menyebarkan khabar angin rumah tangga mereka yang baru dibina sedang bergolak.
Peguam Thierry Lacoste memberitahu AFP, Putera Albert II dan isterinya, Charlene Wittstock atau Puteri Charlene memfailkan tuntutan tersebut terhadap majalahL'Express di sebuah mahkamah di Nanterre, barat Paris.
Lacoste berkata, pasangan diraja berkenaan mendakwa majalah tersebut mencabul hak privasi serta menyebarkan fakta palsu tentang kehidupan peribadi mereka.
Khabar angin itu menyatakan Wittstock cuba meninggalkan Monaco beberapa hari sebelum upacara perkahwinan dan istana serta Putera Albert II telah menafikan berita itu.
Majalah L'Express di laman webnya melaporkan, bekas atlet renang Olimpik itu mengganggu persediaan majlis perkahwinannya pada awal Julai dengan cuba pulang ke tempat asalnya, Afrika Selatan.
Adik kepada Puteri itu semalam berkata, kakaknya 'sangat gembira' dengan perkahwinan tersebut, sekali gus menafikan khabar angin yang menyatakan rumah tangga pasangan itu sedang bergolak.
"Semua orang sibuk membuat spekulasi. Saya yakin kakak saya sangat gembira," kata Sean Wittstock kepada majalah mingguan berbahasa Inggeris paling laris di Afrika Selatan, YOU.
Jelasnya, sebagai penganut Roman Katolik, kakaknya tidak percaya kepada perceraian. - AFP
No comments:
Post a Comment