BEIJING 26 Julai - China melarang wartawan tempatan menyiasat punca perlanggaran dua buah kereta api berkelajuan tinggi di bandar Wenzhou, pada Sabtu lalu yang mengakibatkan 43 maut, sementara lebih 200 lagi cedera.
Menurut laman web berita China Digital Times, arahan tersebut dikeluarkan jabatan propaganda China pada Ahad lalu selepas insiden berkenaan mencetuskan kemarahan orang awam dan menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan rangkaian kereta api laju di negara ini.
"Kerajaan mengarahkan media memetik maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa dan bukan menjalankan wawancara bebas," menurut arahan tersebut yang turut disiarkan beberapa blog China.
Arahan itu juga menyatakan, pemberita perlu mengutamakan 'berita-berita menyentuh hati' seperti pertambahan mendadak pihak yang sedia menderma darah atau perkhidmatan teksi percuma yang ditawarkan berbanding menyiasat punca sebenar nahas.
Halaman muka depan laman web berbahasa Inggeris itu hari ini yang bertajuk 'Kemarahan Memuncak Ekoran Kekurangan Penjelasan' telah meningkatkan lagi kemarahan orang ramai yang menyifatkan insiden tersebut boleh dielakkan.
Perkara sama turut dibangkitkan lidah rasmi kerajaan, China Daily yang melaporkan artikel 'persoalan yang tidak terjawab' tentang mengapa pemandu tren kedua tidak diberi amaran berhubung keadaan tren pertama yang berhenti.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan Kereta Api China hari ini mengarahkan satu kempen keselamatan melibatkan pemeriksaan sistem pengakutan itu dijalankan selama dua bulan di negara ini.
Menurut laporan akhbar People's Daily, Menterinya, Sheng Guangzu turut meminta maaf di atas insiden itu, tetapi beliau tidak menjelaskan mengapa tren kedua tidak diberi amaran mengenai tren pertama yang berhenti di landasan.
Kerajaan juga katanya bakal membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa dengan sebuah keluarga dari Fuzhou, timur wilayah Fujian menjadi penerima pertama menerima bayaran sebanyak 500,000 yuan (RM232,500) hari ini. - AFP/AP
No comments:
Post a Comment