Wednesday, July 27, 2011

Mat Sabu pertikai kenyataan polis


KUALA LUMPUR 26 Julai - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kekal dengan pendirian bahawa beliau dilanggar sebuah kereta Waja milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 9 Julai lalu.

Tidak cukup dengan itu, Mohamad Sabu turut mempertikaikan penjelasan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid bahawa hasil siasatan menunjukkan beliau terjatuh selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan di sebelah kanan jalan.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan Salleh itu, Mohamad yang juga lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa, Pengarah KDNKA Bukit Aman tersebut langsung tidak melakukan kajian sebelum membuat kenyataan.

"Saya buat laporan polis tentang kejadian itu (dilanggar) pada 14 Julai. Pengarah KDNKA Bukit Aman memberi penjelasan pada 22 Julai. Laporan polis saya di Dang Wangi saya dilanggar oleh kereta Waja polis bukan Pajero dan saya juga amat kesal soal kesihatan dipermainkan.

"Ini menunjukkan Salleh (Pengarah KDNKA Bukit Aman) langsung tidak membuat homework(kajian) untuk buat kenyataan. Di samping membuat pembohongan, hal kesihatan dimainkan, ini politik paling rendah dibuat di Malaysia," katanya pada sidang akhbar di pejabat agung Pas hari ini.

Rakaman video yang didedahkan baru-baru ini menunjukkan peta perjalanan Mat Sabu yang membonceng sebuah motosikal bersama seorang lelaki menggunakan Jalan Maharajalela dari Mandarin Court ke lokasi kejadian di kawasan perumahan Sri Bukit Persekutuan, di sini.

Ia memaparkan motosikal yang dinaiki beliau tidak dilanggar oleh kenderaan polis seperti mana didakwa oleh beliau, sebaliknya beliau terjatuh sendiri selepas membuat pusingan U di kawasan tersebut.

Hasil pemeriksaan kesihatan pula menunjukkan tiada kecederaan serius disebabkan kemalangan dan Mat Sabu hanya mendapat rawatan pesakit luar.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment