WASHINGTON 26 Julai - Pemimpin Uighur yang hidup dalam buangan, Rebiya Kadeer melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan berpuluh-puluh penduduk etnik itu yang dikatakan cedera ketika bertempur dengan polis di wilayah Xinjiang, barat China, baru-baru ini dan kemudian ditahan.
Presiden Kongres Uighur Sedunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu berkata, kira-kira 70 penduduk Uighur yang cedera dipindahkan dari hospital awam ke sebuah hospital penjara tentera berikutan pertempuran di bandar terpencil Hotan pada 18 Julai lepas.
"Polis mengumpulkan kesemua penduduk (yang cedera) tersebut dan membawa mereka ke sebuah hospital penjara tentera.
"Adalah jelas apabila seseorang penduduk Uighur yang cedera dibawa ke hospital tentera, dia akan keluar sebagai mayat," kata Kadeer.
Katanya, penduduk Uighur sudah lama membangkitkan aduan mengenai penjara tentera.
Beliau mendakwa, tahanan pada masa lalu dibunuh dan organ diambil daripada mayat mereka.
Media kerajaan China berkata, 18 orang terbunuh dalam serangan 'pengganas' ke atas sebuah balai polis di Hotan.
Sekumpulan penduduk menyerang balai polis itu dan membunuh empat orang sebelum polis 'menembak mati' penyerang, lapor media kerajaan.
Kadeer mempertikaikan laporan itu dengan berkata, penduduk Uighur pergi ke balai polis tersebut dan cuba menahan anggota polis dalam usaha mendapatkan maklumat mengenai ahli keluarga mereka yang hilang.
Beliau mempertahankan tindakan penduduk terlibat dan tidak menganggapnya sebagai perbuatan keganasan. - AFP
No comments:
Post a Comment