Tuesday, July 12, 2011

Kerajaan Britain halang Rupert Murdoch



RUPERT Murdoch bersama Ketua Eksekutif News International, Rebekah Brooks semasa meninggalkan kediamannya di London, semalam. – AFP


LONDON 11 Julai – Peguam kerajaan Britain sedang mengatur rancangan bagi menyekat percubaan pemilik akhbar News of the World, Rupert Murdoch untuk membeli syarikat penyiaran BSkyB.

Menurut akhbar Independent hari ini, langkah itu boleh menyelamatkan Perdana Menteri, David Cameron daripada terpaksa menghadapi pengundian di Parlimen yang berpotensi menggugat kerajaan campurannya.

Pemimpin parti pembangkang iaitu Parti Buruh, Ed Miliband semalam berkata, beliau akan memaksa Parlimen mengadakan pengundian pada minggu ini jika Cameron tidak mengambil langkah untuk menghalang News Corp milik Murdoch daripada membeli 61 peratus lagi kepentingan dalam BSkyB dengan harga AS$14 bilion (RM42 bilion).

Pengundian di Parlimen boleh memecahkan perikatan antara Parti Konservatif pimpinan Cameron dengan Liberal Demokrat yang sudah menyatakan kemungkinan mereka menyebelahi Parti Buruh dalam pengundian mengenai isu itu.

Ia juga akan memberi peluang kepada Parti Buruh untuk memaparkan parti itu sebagai pembela rakyat selepas timbul kemarahan orang ramai dengan dakwaan bahawa wartawan dan pengarang News of the World bersubahat menggodam peti suara telefon seorang budak perempuan yang mati dibunuh, mangsa serangan bom di London dan waris korban perang Britain, dalam usaha untuk mencari bahan berita.

“Kami sedang merangka pelan untuk menggantung urus niaga itu sementara siasatan polis dijalankan,” kata sumber kanan kerajaan yang dipetik oleh Independent.

Akhbar Sunday Times milik Murdoch sendiri melaporkan, siasatan dalaman News of the World pada 2007 mendapati kegiatan menggodam telefon berlaku dengan lebih meluas daripada apa yang diakui oleh syarikat itu dan kakitangan telah memberi rasuah kepada polis untuk mendapatkan maklumat.

Murdoch, 80, tiba di London semalam untuk mengetuai usaha menyelamatkan urus niaga pembelian BSkyB dan mengehadkan kerosakan terhadap News Corp, konglomerat berita terbesar di dunia.

Ketika dibawa dengan kereta ke ibu pejabatnya di London, Murdoch menunjukkan edisi terakhir News of the World, akhbar berusia 168 tahun yang dibelinya pada 1969 dan diarahnya ditutup minggu lepas dalam usaha untuk membendung skandal tersebut.

Akhbar tabloid itu dikenali kerana tajuk-tajuk berita sensasi yang mendedahkan skandal dan salah laku golongan kaya dan terkenal serta kerabat diraja, dan tajuk berita terakhirnya semalam cuma menyebut Thank You & Goodbye (Terima Kasih & Selamat Tinggal). – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment