Tuesday, July 12, 2011

Pakistan tidak perlukan AS

ISLAMABAD Julai – Tentera Pakistan mampu berperang tanpa bantuan Amerika Syarikat (AS), kata seorang jurucakap tentera hari ini.

Mejar Jeneral Athar Abbas juga berkata, tentera Pakistan belum diberitahu secara rasmi mengenai keputusan Washington untuk menggantung bantuan bernilai AS$800 juta (RM2.4 bilion).

“Tentera Pakistan pada masa lalu dan masa kini berjaya menjalankan operasi tentera dengan menggunakan sumbernya sendiri tanpa sebarang bantuan luar,” tegas Abbas.

Terdahulu, seorang pegawai kerajaan Pakistan berkata, hubungan pertahanan yang semakin erat dan berkesan antara Pakistan dengan China akan membolehkan Islamabad ‘mengisi kekosongan’ berpunca daripada pengurangan bantuan ketenteraan AS kepada negara ini.

Pentadbiran Presiden Barack Obama telah menggantung bantuan ketenteraan bernilai AS$800 juta (RM2.4 bilion) kepada Pakistan sebagai membantah tindakannya mengurangkan bilangan jurulatih tentera AS, mengehadkan visa bagi kakitangan AS dan beberapa tindakan lain yang tidak disenangi oleh Washington.

Serangan komando AS yang membunuh ketua al-Qaeda, Osama bin Laden di Abbottabad pada 2 Mei lalu, dilancarkan tanpa pengetahuan pihak berkuasa Pakistan, juga menyebabkan hubungan dua hala antara dua sekutu itu tegang.

Bagaimanapun pegawai Pakistan itu mengaku pengurangan bantuan ketenteraan AS memang sudah dijangka.

“Di situlah hubungan jangka panjang kami dengan China akan membantu mengisi kekosongan,” kata pegawai itu kepada CBS News.

Diplomat Barat sebaliknya berpendapat, hubungan Pakistan yang semakin keruh dengan AS hanya akan menjejaskan kepentingan Islamabad, tanpa mengira skop bantuan yang diterimanya daripada China.

“AS sudah lama memberikan bantuan ekonomi dan ketenteraan kepada Pakistan, bantuan yang jauh mengatasi bantuan China berdasarkan nilai dolar, dan hubungan semakin tegang dengan AS boleh menyebabkan Pakistan tersisih,” kata seorang diplomat Barat di Islamabad.

Dalam pada itu, bekas Duta Pakistan ke Washington, Mejar Jeneral bersara, Mehmood Durrani menyifatkan keputusan AS untuk membekukan bantuan ketenteraan sebagai langkah yang akan melebarkan lagi jurang antara kedua-dua sekutu, dan bukan memaksa tentera negara ini untuk memperhebatkan kempen memerangi gerila Taliban dan al-Qaeda.

Kenyataan Durrani mencerminkan tanggapan umum di Pakistan bahawa Islamabad berperang bagi pihak Amerika dan dengan itu, Washington mesti membiayai kos kempen tersebut. – AFP/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment