Tuesday, July 12, 2011

Pemisah Thai tingkat serangan

YALA: Dua belas orang cedera akibat tiga letupan bom yang dipasang kumpulan pemisah Islam di wilayah selatan Thai, semalam.

Seorang penganalisis menyifatkan kejadian itu sebagai usaha untuk menarik perhatian bakal kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra mengenai masalah di wilayah berkenaan.


Polis berkata, tiga jerangkap samar meletup selang beberapa minit di sebuah ladang getah di Yala.

Sebelah kaki seorang penoreh hancur akibat letupan pertama dan dua letupan berikutnya mencederakan dua anggota pasukan keselamatan dan seorang pegawai pemusnah bom yang dikerah ke tempat kejadian.


Mereka berkata, bom terakhir yang dipasang dalam sebuah trak di sebuah daerah lain di wilayah itu meletup tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.


“Ia mungkin usaha untuk menarik perhatian kerajaan baru mengenai keadaan di selatan, khususnya berhubung tuntutan autonomi penduduk Islam,” kata pensyarah sains politik Srisimpob Jitpiromsri dari Universiti Srinakharin di Pattani.

“Keganasan meningkat setiap kali berlaku perubahan kerajaan. Saya tidak terkejut jika kejadian seumpamanya meningkat bulan depan, mengatasi purata bulanan 70 hingga 80 keganasan sebulan yang berlaku sejak awal tahun ini,” katanya.

Malah sebelum pilihan raya, jumlah dan skala serangan di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat, tiga wilayah selatan yang majoritinya penduduk Islam, menyaksikan peningkatan dengan penduduk kampung, anggota tentera dan polis menjadi mangsa.

Menurut Srisompob, penduduk Islam mahu melihat sama ada Yingluck akan memenuhi janjinya ketika kempen pilhan raya untuk membentuk zon pentadbiran khas di selatan Thai. - AFP

myMetro | Pemisah Thai tingkat serangan

No comments:

Post a Comment