Tuesday, July 12, 2011

Spratly: China beri amaran kepada AS



Mike Mullen (kiri) dan Chen Bingde semasa pertemuan di Beijing, semalam.


BEIJING 11 Julai – China hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya tidak campur tangan dalam perebutan wilayah di Laut China Selatan ketika ketua tentera dua negara itu bertemu di Beijing bagi memperbaiki hubungan.

Amaran itu disuarakan Ketua Kakitangan Turus Am Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Chen Bingde kepada rakan sejawatnya, Laksamana Mike Mullen dari AS, lapor agensi berita Xinhua.

“Ini bukanlah masa yang sesuai untuk AS mengadakan latihan tentera di Laut China Selatan dengan Filipina dan Vietnam,” katanya selepas satu rundingan ketenteraan.

Menurutnya, AS sebelum ini pernah berjanji tidak akan campur tangan dalam perselisihan maritim itu, tetapi ‘tindakan negara itu adalah sebaliknya’.

Terdahulu, Mullen berkata, AS akan terus mengekalkan kehadirannya di Laut China Selatan berikutan kebimbangan Washington terhadap pertelingkahan di kawasan perairan tersebut yang mungkin boleh menimbulkan konflik lebih serius.

“Sama seperti yang dibimbangi semua pihak, pertelingkahan itu mungkin menimbulkan salah faham dan mencetuskan insiden yang tidak dijangka.

“Kami sudah lama wujud di sini dan kami juga ada tanggungjawab. Kami amat menyokong penyelesaian secara aman berhubung perselisihan ini,” katanya pada satu sidang media.

China, Filipina, Malaysia, Brunei, Vietnam dan Taiwan masing-masing menuntut wilayah di Laut China Selatan dengan China menyaksikan tuntutan paling besar melibatkan 1.7 juta kilometer persegi termasuk kepulauan Spratly dan Paracel.

Kehadiran Mullen ke China juga dilihat sebagai kunjungan balas Bingde ke Washington pada Mei lalu untuk satu rundingan ketenteraan peringkat tinggi antara dua negara. – dpa/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment