BEIJING 11 Julai – Bekalan elektrik yang terputus di China mengakibatkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi baru bernilai AS$33 bilion (RM99.3 bilion) antara Beijing dan Shanghai terhenti semalam, hanya 10 hari selepas perasmiannya.
Biro perkhidmatan kereta api Beijing berkata, sebanyak 19 buah kereta api tergendala selama 90 minit ketika ribut petir dan angin kuat menganggu bekalan elektrik di landasan tersebut sekitar pukul 6 petang waktu tempatan.
Menurut penumpang, lampu kereta api yang mereka naiki terpadam dan udara dalam gerabak mereka menjadi panas dengan serta-merta kerana alat penyejuk udara turut terpadam.
“Gerabak kami kini berada dalam keadaan gelap dan sangat panas. Kami tidak mampu melalui keadaan kegagalan tenaga elektrik ketika menaiki kereta api berkelajuan tinggi ini,” tulis salah seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya Brother Jiabo terus dari dalam kereta api tersebut.
Ramai penumpang yang merungut di dalam internet dan mempersoalkan kemampuan kereta api yang dikatakan menggunakan teknologi tinggi dan terbaik.
Perdana Menteri China, Wen Jiabao merasmikan laluan kereta api berkelajuan tinggi itu yang mengurangkan separuh daripada masa perjalanan dari dua buah bandar di China pada 30 Jun lalu.
Menurut beliau, kereta api yang dirasmikan sehari sebelum perayaan ulang tahun ke-90 Parti Komunis China itu akan menjadi kunci utama kepada sistem pengangkutan moden yang lebih baik serta memuaskan keperluan penumpang.
Bagaimanapun, pelaburan yang besar bagi rangkaian pengangkutan yang baru itu turut menjadi lubuk rasuah, meningkatkan kerisauan atas tahap keselamatannya.
Akhbar China Daily melaporkan, insiden terputus bekalan elektrik itu telah meningkatkan kembali kerisauan terhadap tanda tempat terbaru China itu yang dibuka awal setahun daripada yang dirancang.
Ramai pengguna Internet menulis di dalam blog dan forum Internet yang mereka tidak mahu menggunakan perkhidmatan kereta api itu lagi kerana ia tidak seperti yang dijanjikan iaitu ketepatan masa walaupun dalam keadaan cuaca buruk. – AFP
No comments:
Post a Comment