Thursday, August 18, 2011

Kes Roslin mula bicara 13 Oktober ini




ROSLIN Hashim (kiri) melihat papan kenyataan ketika hadir di Mahkamah Tinggi dan Syariah Kuala Lumpur semalam untuk mengenepikan tuntutan ganti rugi perkahwinan bekas isterinya.


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kes tuntutan ganti rugi perkahwinan yang dikemukakan oleh jaguh badminton negara, Muhammad Roslin Hashim terhadap bekas isteri, Faizah Mohamad akan dibicarakan pada 13 Oktober ini.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan demikian selepas menolak permohonan interlokutari (permohonan dalam permohonan) yang difailkan oleh Faizah pada 30 Mei lalu selepas Roslin gagal hadir pada hari perbicaraan yang ditetapkan pada 23 dan 24 Mac lalu.
Menurut Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan, beliau membuat keputusan itu selepas menerima alasan cuti sakit yang dinyatakan oleh peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim serta berpendapat ia tidak menimbulkan prejudis terhadap defendan.
Pada prosiding hari ini, Roslin hadir ditemani penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, dan suaminya, bekas pemain badminton kebangsaan, Jalani Sidek, 48.
Sementara Faizah yang diwakili peguam syarie, Amir Nazli Hussin tidak hadir.
Menurut Roslizam, pihaknya akan mengemukakan tiga saksi dalam perbicaraan tersebut iaitu Raja Azmi, Jalani serta ibu Roslin.
Isu rumahtangga bekas pasangan suami isteri itu hangat diperkatakan umum apabila Roslin, 35, menceraikan Faizah, 34, selepas 12 hari mereka melangsungkan perkahwinan.
Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 dan disahkan bercerai pada 12 Mei tahun tersebut oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak yang jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).
Roslin dalam prosiding pengesahan perceraiannya turut bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh 12 hari perkahwinan mereka.
Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan yang merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita yang pertama dinikahinya itu.
Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).-utusan

No comments:

Post a Comment