Thursday, August 18, 2011

Musa hadir temu bual kes Anwar

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan hadir ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini petang esok bagi sesi temu bual dengan barisan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesi temu bual tersebut akan turut disertai oleh Ketua Pembangkang itu.
Musa sebelum ini pernah 'menolak' untuk ditemu bual selepas mengetahui Anwar akan turut serta dalam sesi tersebut.
Turut dijangka hadir pada sesi temu bual esok ialah salah seorang jururawat Hospital Pusrawi dan pengawal peribadi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Peguam bela, Sankara Nair ketika ditemui pemberita memberitahu, pada hari ini, hanya pembantu rumah pemilik kondominium tempat kejadian liwat didakwa berlaku, Hasanuddin Abd. Hamid yang dikenali dengan nama Suchiati hadir untuk ditemu bual.
Sementara itu, seorang lagi peguam bela Anwar, Ram Karpal Singh, mengambil kesempatan menjelaskan mengenai laporan media yang menyatakan Anwar akan memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri itu nanti.
Pada peringkat ini katanya, anak guam mereka masih belum membuat pilihan sama ada akan berdiam diri, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Beliau memaklumkan, pilihan tersebut hanya akan dibuat selepas kesemua saksi selesai ditemu bual.
Perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 27, ditetapkan untuk disambung pada Isnin ini.-utusan

No comments:

Post a Comment