Thursday, August 4, 2011

6 tak mengaku milik dokumen subversif


 JEYAKUMAR Devaraj dan Letchumanan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Butterworth, semalam.

JEYAKUMAR Devaraj dan Letchumanan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Butterworth, semalam.


Tertuduh didakwa bantu BERSIH bawa 600 helai risalah haram di Plaza Tol Sungai Dua

BUTTERWORTH: Enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memiliki dokumen subversif tanpa alasan sah dan pembabitan dalam perhimpunan haram, Jun lalu.

Selain Jeyakumar, 56, turut didakwa ialah Sarasvathy Muthu, 58; Letchumanan Aseer Patham, 49; Sukumaran Munisamy, 50; Saratbabu Raman, 25, dan Choo Chon Kai, 33.
Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram, iaitu BERSIH 2.0 dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.

Untuk itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pertubuhan 1966 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda sehingga RM15,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka turut menghadapi pertuduhan alternatif iaitu dengan niat bersama memberi bantuan kepada pertubuhan haram BERSIH 2.0 dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.
Semua mereka turut menghadapi pertuduhan dengan niat bersama membawa dokumen subversif tanpa alasan yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu dalam sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara Selatan di sini, pada jam 3.30 petang, 25 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim, manakala semua tertuduh diwakili sepasukan peguam diketuai Datuk C V Prabhakaran.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang. Tarikh perbicaraan ditetapkan 10 hingga 14 Oktober depan, bersama dengan 24 lagi penyokong PSM yang didakwa di mahkamah itu atas pertuduhan yang sama, bulan lalu.

Sebelum ini, Dr Jeyakumar, Sarasvathy, Letchumanan, Sukumaran, Saratbabu dan Chon Kai ditahan hampir tiga minggu mengikut Ordinan Darurat 1969 kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengancam keselamatan negara dan dibebaskan, Jumaat lalu. bharian

No comments:

Post a Comment