Thursday, August 4, 2011

Hosni Mubarak dibicarakan



Hosni Mubarak berbaring dalam kandang tertuduh mahkamah khas di Akademi Polis Kaherah dalam gambar yang dipetik dari video, semalam. – REUTERS


KAHERAH 3 Ogos – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan dua anak lelakinya mengaku ‘tidak bersalah’ apabila mereka dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan rasuah dan terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan.
Perbicaraan bersejarah terhadap bekas Presiden itu bermula di sini beberapa bulan selepas pemerintahan beliau selama 30 tahun berakhir dalam pemberontakan rakyat.
“Saya menafikan sama sekali semua tuduhan itu,” kata Mubarak di kandangan tertuduh.
Beliau yang kelihatan pucat dan berpakaian serba putih terbaring di atas pengusung yang diletakkan di dalam kandang tertuduh di bilik mahkamah yang didirikan di Akademi Polis Kaherah, sementara dua anak lelakinya, Alaa dan Gamal berdiri di sisinya.
Kedua-dua mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membunuh penunjuk perasaan antirejim semasa pemberontakan rakyat itu.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly dan enam timbalannya turut dihadapkan ke mahkamah dalam kes yang sama.
Mubarak dilihat bercakap dengan Alaa dan Gamal yang nampak tenang sepanjang perbicaraan yang disiarkan secara langsung di televisyen Mesir.
Kemunculan bekas Presiden itu adalah yang pertama di khalayak ramai sejak beliau disingkirkan pada 11 Februari lalu.
Hakim Mahkamah Jenayah Kaherah, Ahmed Refaat berkata, perbicaraan ditangguhkan pada 15 Ogos ini dan sesiapa yang dilihat mengganggu prosiding akan diusir.
Kesemua defendan tersebut dituduh menggelapkan wang kerajaan berjumlah berjuta-juta dolar dan mengarahkan pembunuhan penunjuk perasaan semasa pemberontakan 25 Januari yang membawa kepada kejatuhan Mubarak.
Lebih 1,000 anggota polis dan askar berkawal di sekitar kompleks itu dan memeriksa kira-kira 600 peguam dan wartawan yang hadir.
Mubarak sebelum itu dibawa ke Kaherah dengan pesawat dari pusat peranginan Sharm el-Sheikh di mana beliau ditahan di sebuah hospital.
Berpuluh-puluh penyokong setia Mubarak bertempur dengan penentang beliau di luar mahkamah, dengan membaling batu ke arah satu sama lain, sebelum segera dileraikan oleh pasukan keselamatan. – AFPutusan

No comments:

Post a Comment