Thursday, August 4, 2011

Ibu tunggal hilang sumber rezeki



GALI – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kehidupan seorang ibu tunggal lebih sempit dirasakan selepas terlibat kemalangan sejak lebih setahun lalu mengakibatkannya patah kaki kanan.

Sebelum kemalangan, Unizah Abdul Aziz, 60, hanya menjana pendapatan dengan menjual sayuran dan menoreh getah bagi menampung kehidupannya bersama dua anak perempuan berusia 20-an.

Bagaimanapun, sejak kakinya dimasukkan besi kekal selepas kemalangan yang hampir meragut nyawanya, dia hanya terlantar di atas tilam kerana menghadapi kesukaran untuk bergerak.

Menurutnya, kemalangan itu merubah kehidupannya sekelip mata apabila terpaksa bergantung hidup semata-mata dengan pencen arwah suami sebanyak RM228 setiap bulan.

“Ketika kemalangan pada Mac tahun lalu, saya membonceng motosikal jiran dan tiba-tiba dirempuh kereta apabila hendak keluar persimpangan dekat jalan utama di hadapan rumah.

“Kesakitan ditanggung hingga ke hari ini apabila besi diletakkan di kaki kanan mengakibatkannya membengkak dan saya tidak boleh langsung membengkokkan kaki seperti orang lain,” katanya.



Penderitaan berterusan



UNIZAH berkata, biarpun dibekalkan tongkat dan kerusi roda, dia tetap tidak mampu menggunakannya kerana mengalami kesulitan dan kesakitan.

Katanya, pergerakannya hanya sekitar tilam yang dihamparkan di ruang tengah rumah sahaja dan sekiranya ingin bergerak lebih jauh, dia perlu dipapah serta berpaut kepada apa sahaja di sekelilingnya.

“Tidak cukup dengan kesakitan yang ditanggung, anak sulung juga tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat ijazah akibat masalah kewangan dan terpaksa berhenti setelah mendapat diploma sahaja.

“Bekerja di ibu kota dengan pendapatan mengikut kelayakan diploma, memberi tekanan kewangan kepadanya sehingga memaksanya membuat keputusan untuk pulang ke kampung menjaga saya sepanjang masa di rumah,” katanya.

Dia berkata, anak keduanya pula bekerja di sebuah restoran dekat Bandar Raub dengan pendapatan yang cukup untuk menyara dirinya sendiri.



Rumah usang



AWAN mendung sering memayungi kehidupan tiga beranak ini kerana terpaksa berteduh di rumah papan pusaka yang usang dan mereput.

Sekiranya dapat mengumpul wang lebih daripada biasa, Unizah berusaha membaiki atap zink yang bocor, tetapi masih tidak mampu membaiki lantai papan yang banyak berlubang akibat mereput.

Tetapi sejak ditimpa kemalangan, usahanya mengumpul wang terhenti serta merta kerana tidak berupaya menjana pendapatan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tidak hanya keadaan kesihatan Unizah, rumahnya juga uzur dan berbahaya sekiranya tidak berhati-hati melangkah kerana lantainya mereput.

Unizah berkata, kunjungan beberapa pemimpin setempat juga tidak mampu untuk naik terus ke dalam rumahnya kerana beberapa lantai dipijak terus patah dan serpihannya jatuh ke tanah.



Usaha pelbagai bantuan



SEMENTARA itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gali Tengah, Mohd Razi Abd Rahman berkata, pihaknya mengusahakan pelbagai cara bagi mendapatkan bantuan untuk meringankan beban ditanggung Unizah.

Katanya, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah tiga kali membuat siasatan dan memberitahu bahawa Unizah akan diberikan Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM300.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada JKM dan berharap supaya bantuan dapat disalurkan setiap bulan pada kadar segera kerana sudah lebih setahun setengah warga emas ini tidak mampu mengusahakan sebarang sumber rezeki.

“Kita turut masukkan data Unizah dalam senarai pemohon bantuan membina rumah baru kerana keadaan rumah didiami ketika ini terlalu uzur dan memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment