Thursday, August 4, 2011

'Tak perlu berguling lagi'



SUHAIMI (kanan) dan beberapa ahli Wanita UMNO Puchong menyerahkan kerusi roda kepada Rosmahwati di Seri Serdang semalam.


SERDANG - Seorang gadis yang sebelum ini terpaksa bergerak secara berguling-guling di lantai terharu apabila menerima sebuah kerusi roda khas yang akan memudahkan pergerakannya semalam.
Ia adalah hasil sumbangan Skuad Sayang Wanita UMNO cawangan Puchong yang menaja kerusi roda yang direka mengikut kesesuaian bentuk badan gadis tersebut, Rosmahwati Abu, 30.
Rosmahwati mengalami penyakit tulang lembut (Osteopenia) sejak lahir dan tidak dapat berjalan, duduk atau berdiri seperti orang lain dan terpaksa dibantu ibu dan tiga orang adiknya untuk bergerak.
"Hari ini buat pertama kalinya saya dapat duduk, walaupun di atas kerusi roda. Ia cukup menggembirakan dan saya tidak perlu berguling-guling lagi selepas ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Serdang di sini semalam.
Kerusi roda berharga RM9,000 itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suhaimi Ibrahim.
Ibu Rosmahwati, Maimun Baharuddin, 49, pula memberitahu, anak sulungnya itu tidak pernah ke sekolah atau menerima rawatan susulan di hospital ekoran masalah kewangan.
"Hendak dukung dia pun sudah tidak larat, terima kasih kepada Skuad Sayang kerana menyumbangkan kerusi roda dan akan membawa anak saya ke hospital selepas ini," ujarnya yang menyara keluarga dengan bekerja sebagai pekerja ladang di Jabatan Pertanian selepas kematian suami.
Sementara itu, Suhaimi berkata, kerusi roda itu dilengkapi motor dan meja bagi memudahkan pergerakan Rosmahwati pada masa hadapan.
"Selain itu, sebuah lagi kerusi roda akan disediakan bagi memudahkan urusannya untuk ke tandas dan mandi," jelasnya.kosmo

No comments:

Post a Comment