Tuesday, August 30, 2011

Ikat perut demi empat cucu



GUAR CHEMPEDAK – Di usia emas sepasang suami isteri dari Kampung Banggol Lalang terpaksa mengikat perut demi menjaga empat cucunya yang ditinggalkan menantu.

Awang Said, 82, berkata, setelah anak lelakinya meninggal dunia pada 2005, keempat-empat cucu dan menantu menetap bersama.

“Keadaan ini bertambah rumit apabila ibu mereka menghilangkan diri dan mereka berada dalam jagaan saya sepenuhnya. Kadang-kadang saya sanggup tidak makan, asalkan cucu-cucu dapat makan.

“Saya hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak seberapa,” katanya.

Menurutnya, dia sedih kerana tidak mampu membiayai kos pengajian cucu perempuannya yang berhasrat melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) pada awal September nanti.

“Cucunya saya, Norhafiza Zainol Abidin, 18, dikehendaki menyediakan RM1,000 sebagai wang pendaftaran, saya tidak mampu menyediakan wang itu tambahan lagi perlu menanggung keperluan harian keluarga.

“Saya hendak buat kerja yang berat-berat pun sudah tidak mampu, jadi saya hanya mampu menoreh sahaja. Sekiranya pergi menoreh bersama isteri, A’ah Pin, kami boleh dapat RM15 sehari, namun kalau hari hujan kami tidak boleh menoreh,” katanya.

Awang berkata, dia mempunyai tujuh anak tetapi empat sudah meninggal dunia manakala tiga lagi turut berhadapan dengan kesempitan hidup kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Sementara itu, Norhafiza berkata, walaupun datuk dan neneknya memintanya menolak tawaran belajar, dia bertekad ingin menyambung pelajaran kerana menganggap bahawa pelajaran mampu mengubah kehidupan mereka sekeluarga ke arah yang lebih baik.

“Saya berazam ingin terus belajar dan berharap ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan. Saya percaya, pelajaran sahaja yang mampu mengubah nasib,” katanya.

Orang ramai yang prihatin boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Giro atas nama Norhafiza Zainol Abidin (02103-29-00011682-7) atau menghubunginya menerusi 013-4305146.

No comments:

Post a Comment