Tuesday, August 30, 2011

Yoshihiko Noda PM baru Jepun



Yoshihiko Noda


TOKYO 29 Ogos – Menteri Kewangan, Yoshihiko Noda dipilih sebagai pemimpin parti pemerintah, Parti Demokratik yang baru, sekali gus menjadi Perdana Menteri Jepun keenam dalam satu pemilihan parti itu, hari ini.
Noda, 54, yang menewaskan Menteri Perdagangan dan Industri, Banri Kaieda dalam pusingan kedua pemilihan tersebut, kini perlu menghadapi cabaran peningkatan semula mata wang yen yang mengancam eksport, membentuk polisi bekalan tenaga baru dan pada masa sama menyelesaikan krisis nuklear ekoran bencana tsunami dan gempa bumi pada Mac lalu.
Menteri Kewangan tersebut menerima 215 undi berbanding Kaieda yang memperoleh 177 undi daripada 392 ahli Parlimen parti itu.
Keputusan tersebut diumumkan oleh pegawai parti selepas kertas undi dimasukkan ke dalam mesin mengira.
Noda dijangka mengangkat sumpah untuk menjawat jawatan berkenaan di Parlimen esok.
Pemilihan itu berlaku selepas penyandang Perdana Menteri, Naoto Kan pada Jumaat lalu, mengumumkan pengundurannya selepas 15 bulan menjawat jawatan itu.
Sebanyak lima calon termasuk Noda bertanding bagi merebut jawatan tersebut dalam pemilihan yang kira-kira pukul 11 pagi (10 pagi waktu Malaysia) ini.
Antara calon yang bertanding adalah bekas Menteri Luar, Seiji Maehara sehingga minggu lalu dilihat sebagai pilihan rakyat dan dijangka menewaskan pesaing terdekat, Noda.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila pemimpin berpengaruh, Ichiro Ozawa menyatakan beliau akan menyokong Kaieda, menjadikannya pesaing terbaru Maehara.
Bagaimanapun, Kaieda dan Noda menerima undian paling tinggi dalam pusingan pertama pemilihan tersebut hari ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment