Tuesday, August 30, 2011

Paksa pekerja tanda tangan ikrar berkelakuan baik

MUMBAI: Pengeluaran di kilang Maruti Suzuki di sini terhenti selepas syarikat pembuat kereta terbesar India itu melarang pekerja memasuki kilang selagi mereka tidak menandatangani surat ikrar berkelakuan baik.
Langkah itu dibuat selepas beberapa kejadian sabotaj.

Syarikat yang dikawal syarikat Jepun itu berkata, ia meminta semua pekerja menandatangani apa yang dipanggil ‘perjanjian berkelakuan baik.’ Perjanjian itu antara lain menghendaki pekerja berjanji untuk tidak mensabotaj pengeluaran, tidak mengambil langkah melengahkan kerja yang boleh menyebabkan pengeluaran terjejas di kilangnya di Manesar itu.

“Pengeluaran sudah terhenti ketika ini,” kata jurucakap syarikat yang enggan mendedahkan namanya.

Ia pertelingkahan ketiga yang menjejaskan pengeluaran di Maruti Suzuki dalam masa tiga bulan.

Kira-kira 2,000 pekerjanya tidak dibenarkan kembali ke kilang berkenaan, satu daripada dua yang dikendalikan Maruti di Haryana, negeri di utara India, sehingga mereka menandatangani surat berkenaan. -AFP

No comments:

Post a Comment