Penduduk kampung cuba menyalakan api daripada gas bawah tanah di Kampung Padang Machang Manir, Kuala Terengganu, semalam. |
Musa Omar, 48, yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam kerja-kerja berkenaan menyedari situasi itu kira-kira pukul 5 petang semalam setelah menggali hampir beberapa jam di pinggir sebuah rumah di Kampung Padang Machang di sini.
Menurutnya, dia telah menggali sedalam kira-kira 11 meter sebelum terdengar bunyi aneh seperti angin dalam perut yang sedang berkeroncong.
Ekoran itu katanya, dia cuba menarik keluar batang paip yang digunakan dalam kerja-kerja menggali tersebut dan nampak wap panas keluar daripada batang paip berkenaan.
"Hampir satu jam saya tunggu kalau-kalau ada api yang akan keluar. Lepas itu baru saya terfikir untuk mengambil mancis dan cuba mencucuhnya dekat wap panas tersebut sehingga keluar api," katanya ketika ditemui di tapak kejadian hari ini.
Tambah Musa, wap itu tidak mengeluarkan sebarang bau dan tidak terlalu panas kerana batang paip tersebut langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan cair.
Kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang ingin melihat sendiri fenomena tersebut selain kehadiran kehadiran sepasukan anggota polis dan bomba.
Pasukan bomba juga dilihat berusaha memadamkan gas yang sesekali mengeluarkan api itu dengan menggunakan hos air.
Dalam pada itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, peristiwa yang hampir sama pernah berlaku di kampung tersebut kira-kira 25 tahun lalu tetapi tidak dihebohkan kepada orang ramai.
"Orang yang menggali air boring pada masa itu berasa takut selepas terdengar bunyi pelik dari bawah tanah dan terus mengambus lubang yang digali," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd. Fauzi Muda memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.45 pagi tadi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
"Setakat ini, kita dapati gas yang keluar itu tidak berbahaya tetapi kita terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dan telah menghubungi Jabatan Mineral dan Geosains untuk membuat kajian lanjut," ujarnya.
-UTUSAN
No comments:
Post a Comment