ALOR SETAR - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) tidak layak berdebat dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kerana tidak setaraf.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, hanya Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin layak bersemuka dengan Mat Sabu kerana masing-masing berwibawa untuk berbahas dalam isu yang dibangkitkan.
“Khairy hanya Ketua Pemuda, tetapi Mat Sabu dan Muhyiddin sama-sama Timbalan Presiden dan layak berdebat. Siapa Khairy nak lawan dengan Mat Sabu? Tak kan pula pasukan bola sepak Brazil nak lawan pasukan dari Tokai, Pendang, tarafnya jauh beza,” katanya, pada media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.
Azizan turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Mat Sabu sengaja membuat helah untuk berdebat dengan Muhyiddin, setelah dirinya dicabar oleh Khairy.
“Ini bukan helah, cuma orangnya tak sesuai,” katanya.
Menurutnya, Mat Sabu perlu diberi peluang oleh semua saluran media untuk mengemukakan fakta dan bukti berhubung kenyataannya itu, tetapi haknya dinafikan.
“Malangnya beliau tidak diberi peluang untuk huraikan fakta dia. Cubalah bagi peluang untuk beliau kemuka hujah dan bukti supaya rakyat tidak keliru,” katanya.
Kelmarin, Khairy tetap bertegas mahu berdebat dengan Mat Sabu dan mendesak pemimpin itu menyahut cabarannya, sebaliknya Mat Sabu tetap dengan pendiriannya berdepan dengan Muhyiddin.
-SH
No comments:
Post a Comment